Bingkas: Jumlah bantuan naik susulan keperluan isi rumah bertambah

3 Dec 2021 • 8:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 3 DIS: Tindakan Kerajaan Negeri menaikkan jumlah bantuan berbanding menambah bilangan penerima menerusi inisiatif terbaru Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) kerana keperluan isi rumah selepas pandemik Covid-19 meningkat.

Dato’ Menteri Besar berkata berdasarkan inisiatif sebelum ini iaitu Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS Ibu Tunggal (KISS-IT) hanya sekitar 20,000 penerima sahaja yang memohon sedangkan peruntukan RM200 seorang itu disediakan untuk 25,000 penerima.

“Berdasarkan rekod kita dapati pemberian itu digunakan untuk membeli kopi, gula, tepung dan ada yang beli keperluan sekolah.

“Jadi Kerajaan Negeri tambah RM100 supaya penerima dapat tampung lagi keperluan seperti yuran sekolah kerana selepas pandemik kesannya sangat besar dan RM200 yang kita berikan sebelum ini mungkin tidak cukup,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika penggulungan perbahasan Belanjawan #Selangor2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Justeru itu, beliau berkata Bingkas yang baharu diperkenalkan ditingkatkan kepada RM300 selain bilangan penerima bertambah kepada 30,000.

“Kita lengkapkan jumlah ini dahulu dan jika ada keperluan kita sedia tingkatkan peruntukan untuk Bingkas,” katanya.

Sebelum ini, Amirudin menerusi Belanjawan #Selangor2022 memaklumkan Kerajaan Negeri meluaskan capaian dan menambah baik program KISS dan KISS-IT yang dinamakan Bingkas.

Program baharu ini akan memperuntukkan RM3,600 setahun atau RM300 sebulan kepada setiap keluarga yang layak.

Kerajaan Negeri menyasarkan 30,000 keluarga di Selangor akan menerima manfaat Bingkas dengan peruntukan RM108 juta dan jangkaan 180,000 penerima manfaat.