Puluhan rumah musnah dilanda ribut di Ipoh

30 Jan 2022 • 9:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

IPOH - Beberapa pokok tumbang dan puluhan rumah dilaporkan rosak dalam kejadian ribut yang melanda di kawasan Kampung Tawas dan Taman Tasek Damai di sini pada Ahad.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 6.30 petang itu menyebabkan beberapa batang pokok tumbang sehingga menghalang laluan serta menimpa rumah penduduk.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 6.40 petang.

image is not available

"Setibanya di lokasi mendapati beberapa batang pokok tumbang dan rumah mengalami kerosakan.

"Bagaimanapun, tiada berlaku sebarang kecederaan kepada mangsa mahupun kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.

Menurutnya, bomba masih membuat pemantauan di lokasi kejadian.

"Kerja-kerja pembersihan dilakukan bagi pokok yang menghalang laluan kenderaan awam dan menimpa rumah," katanya.