Kuasai media sosial untuk sebar maklumat: Bersatu Sabah

LocalPolitics
26 Jan 2022 • 9:48 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Biro Penerangan Bersatu Sabah perlu menguasai media sosial bagi membantu menjelaskan tujuan dan dasar perjuangan Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan lebih mudah dan diyakini oleh rakyat akar umbi.

Ketua Penerangan Bersatu Sabah, Khairul Firdaus Datuk Akbar Khan berkata, adalah mustahil untuk berhimpun, bermesyuarat dan berbincang seperti dahulu, suatu cabaran yang perlu dihadapi dan diatasi.

“Justeru, media sosial seperti WhatsApp, Facebook, Instagram, WeChat mengambil alih peranan kempen mahupun penerangan kepada masyarakat di peringkat akar umbi dalam dunia norma baharu.

“Ia juga untuk memberi penerangan tentang isu-isu semasa mahupun menjawab dakyah-dakyah pembangkang.

“Oleh itu, saya berharap Ketua-ketua Penerangan bahagian seluruh Sabah akan mengambil peranan masing-masing dalam dunia media sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa jelajah di Zon 3 bahagian Bersatu Sipitang dan Beaufort, Selasa.

Jelajah itu diketuai Bendahari Bersatu Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Arif, Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Razali Bob Razi (Sepanggar), Pengarah Strategi dan Pilihan Raya, Datuk Japlin Akim (Kota Belud), ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Malaysia, Abdul Hakim Gulam Hassan (Lahad Datu), Datuk Matbali Musah (Sipitang), Datuk Isnin Aslianih (Beaufort), Penolong Setiausaha Srikandi Bersatu Sabah, Dato Redonah Bahanda, Ketua Armada Bersatu Sabah, Fairuz Renddan serta ketua-ketua Srikandi dan Armada.

“Dalam keadaan kita ini, kita perlu menyampaikan maklumat dengan berkesan dan tujuan kita bukan sekadar menyampaikan sumbangan, tetapi kita perlu juga dilihat sebagai sebuah parti yang dapat memberi khidmat kepada rakyat di akar umbi.

“Biro Penerangan Bersatu Sabah perlu berganding bahu dengan Penerangan Srikandi dan Armada Bersatu Sabah.

“Ketua-ketua Penerangan bahagian harus berfungsi untuk menyampaikan maklumat mengenai dasar parti sekali gus meningkatkan sokongan rakyat terhadap parti dan pemerintahan semasa iaitu kerajaan GRS,” ujar beliau.

Firdaus, yang juga Ketua Bahagian Bersatu Batu Sapi, menambah Ketua-ketua Penerangan perlu bersikap proaktif dalam media sosial yang terbukti amat berpengaruh dalam menentukan tahap sokongan rakyat.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.