Kerajaan komited lahir umat istiqamah: Hajiji

29 Jan 2022 • 12:44 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri dan persekutuan komited dalam usaha melahirkan umat yang istiqamah dengan ajaran Islam.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan persekutuan dalam menyediakan peruntukan tahunan bagi melantik guru-guru KAFA, Takmir, Imam-imam Rawatib dan Pegawai-Pegawai Penyelaras Masjid Daerah di kalangan anak-anak Sabah, merupakan satu pendekatan bagi memperkasa modal insan agar sentiasa kompeten, berinovasi, berdaya tahan dan berintegriti.

“Ini dapat dilihat dari segi tugas dan tanggungjawab asatizah yang mengisi dan memenuhi keperluan masyarakat dalam bidang-bidang ilmu dan amal Islami.

“Bagi kerajaan negeri pula, usaha yang dilaksanakan dalam pembangunan Islami, termasuklah pembinaan baharu dan penyelanggaran masjid dan surau, sekolah-sekolah agama, penambahan pelantikan guru-guru agama dan imam-imam Kariah,” katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif dalam Majlis Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Sabah Tahun 2022 di Dewan Sa’adah, Wisma Muis, pada Khamis.

“Pendekatan ini bagi memastikan masyarkat Islam di negeri ini merasa selesa dalam melaksanakan amal ibadah dan mendapat pendidikan agama yang sewajarnya dari peringkat awal pendidikan lagi.

“Masyarakat yang lahir dari acuan yang baik, tentunya akan melahirkan generasi baharu yang lebih beragama, berwibawa dan berwawasan, yang akan memandu pada masa akan datang kepada sebuah negeri makmur yang sentiasa disirami dengan rasa syukur atas limpahan nikmat ruah yang diperolehi, yang diharapkan dapat disifatkan sebagai baldatun thayyibatun wa rabbun ghafur kerana ketakwaan masyarakatnya,” ujarnya.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dato’ Dr Sirajuddin Suhaimee dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam Sabah (Muis), Ramlan Awang Ali.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.