Jesselton Quay Central sedia ubah landskap Bandaraya KK

20 Jan 2022 • 2:37 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri komited untuk menjadikan Sabah sebagai pilihan yang berdaya maju secara komersial untuk pelaburan hartanah dan destinasi menarik kepada pelancongan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Kerajaan Negeri menyokong peranan utama sektor swasta dalam pasaran hartanah. Inisiatif didorong pihak swasta ini akan mendorong lagi momentum ekonomi dalam industri hartanah; meningkatkan aliran pelaburan; meningkatkan kepelbagaian ekonomi secara keseluruhan mewujudkan peluang ekonomi yang lebih luas; dan mewujudkan limpahan ekonomi yang lain,” katanya.

Seperti yang digariskan dalam agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, strategi ekonomi Sabah adalah untuk mengukuhkan kelompok ekonomi utama, katanya.

“Sektor hartanah adalah komponen utama dalam agenda transformasi ekonomi ini, sebahagiannya, kerana rekod prestasinya yang terbukti dalam membangunkan rangkaian sumber manusia dan dalam pusingan rantaian perbekalan,” katanya pada Majlis Lighting-Up Ceremony Jesselton Quay Central (JQC) di sini pada Rabu.

Dalam hal ini, Ketua Menteri berkata JQC, projek usaha sama antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Suria Capital Holdings Berhad dan SBC Corporation Berhad akan menambah satu lagi transformasi kepada landskap bandar.

“Projek pembangunan bercampur ini terletak secara strategik di kawasan dermaga bandar yang sedang dibangunkan menjadi pusat dengan kemudahan bertaraf antarabangsa, berlatarbelakangkan tepi laut yang indah, dan matahari terbenam yang menakjubkan.

“Pelan Induk Jesselton Waterfront City, yang mana Jesselton Quay Central dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah adalah bahagian penting dan pembangunan yang berterusan di lokasi ini merupakan petanda baik untuk pembangunan hartanah yang berkualiti.

“Apabila siap sepenuhnya, kami dengan bangganya boleh mengatakan bahawa pembangunan infrastruktur di sini dan kebangkitan bahagian lama bandar telah membuahkan hasil,” katanya.

Ketua Menteri berkata, Jesselton Quay dan One Jesselton Waterfront, serta pelengkap pembangunan di kawasan sekitar, akan mengubah kawasan dermaga ini menjadi satu destinasi yang berwajah baharu di kawasan bandar.

“Pelan yang dicadangkan untuk membangunkan terminal pelayaran antarabangsa sebagai sebahagian daripada rancangan jangka panjang untuk meletakkan Kota Kinabalu sebagai terminal pelabuhan serantau dan antarabangsa kini terlaksana,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada fasa pertama projek pembangunan bercampur Jesselton Quay, JQC dibina terletak di kawasan seluas 16.25 ekar di Pelabuhan Kota Kinabalu dan akan berfungsi sebagai lanjutan dari pusat perniagaan Bandaraya Kota Kinabalu.

Sijil Layak Menduduki (OC) dijangka diperoleh pada suku pertama tahun ini untuk JQC yang terdiri daripada dua menara suite komersial 25 tingkat, satu menara i-hotel 25 tingkat, Gallery Shoppes dan kelab rekreasi bertemakan tropika, di podium atas.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.