536,395 Murid Mula Sesi Persekolahan Di Sabah

10 Jan 2022 • 11:43 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Sekolah Kebangsaan Lago, di Beaufort yang masih digenangi air ekoran banjir.

KOTA KINABALU - Seramai 536,226 murid memulakan sesi pembelajaran di seluruh negeri, sempena sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022, hari ini.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Datuk Dr Mistirine Radin berkata, ia membabitkan 320,743 murid sekolah rendah dan 215,483 pelajar sekolah menengah.

"Berdasarkan data sekolah yang berada di bawah kelolaan JPNS, sebanyak 1,290 sekolah (kerajaan dan bantuan kerajaan) dibuka di Sabah membabitkan 1,073 sekolah rendah dan 218 sekolah menengah.

"Jumlah ini termasuk sekolah menengah agama, sekolah menengah agama bantuan kerajaan, sekolah berasrama penuh, kolej vokasional dan sekolah sukan Malaysia," katanya.

Tambah Mistirine, 38 sekolah swasta yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Sabah turut beroperasi membabitkan 7,149 pelajar sekolah rendah dan menengah.

"Bagaimanapun, tiga sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan Penontomon, Pantai Boring dan Lago masih ditutup kerana ditenggelami air minggu lalu.

"Kerja pembersihan sedang giat dilakukan di sekolah berkenaan," katanya.

Sehubungan itu, JPNS mengarahkan semua 169 murid dan 26 guru di tiga sekolah terbabit menjalankan sesi Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR). - Getaran, 10 Januari 2022