
Kota Kinabalu: Seorang bekas pengurus kanan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah pada Rabu, bagi membantu siasatan berhubung kes suapan berjumlah RM170,000.
Menurut sumber, lelaki berusia 51 tahun itu ditahan kira-kira 9.30 pagi Rabu di Pejabat SPRM Sabah ketika hadir memberi keterangan.
Suspek dipercayai menerima rasuah dalam bentuk wang tunai dan pengubahsuaian rumah miliknya yang dianggarkan bernilai RM170,000 daripada kontraktor sebagai balasan melancarkan segala tuntutan bayaran bagi kerja yang telah dilakukan kontraktor tersebut.
Pengarah SPRM Sabah Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.
Karunanithy berkata suspek akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu di sini dalam masa terdekat.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
