Ops Samseng: 254 saman dikeluarkan di Seremban

16 Jan 2022 • 1:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SEREMBAN - Sebanyak 254 saman dikeluarkan polis atas pelbagai kesalahan menerusi Ops Samseng Jalanan di dua lokasi berasingan iaitu di Jalan Persiaran Senawang 1 dan Jalan Rasah, dekat sini pada malam Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superintenden Shafiei Muhammad berkata, daripada jumlah itu, kesalahan melibatkan nombor pendaftaran kenderaan ‘fancy’ merekodkan jumlah tertinggi sebanyak 73 kes, manakala gagal mempamerkan lesen merupakan kesalahan terendah dengan dua kes.

Beliau berkata, dalam operasi bermula jam 11 malam itu juga, sebanyak 132 motosikal telah diperiksa dengan dua individu ditahan, kerana melakukan kesalahan termasuk menunggang secara melulu dan berbahaya selain kesalahan menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Seorang lelaki berusia 19 tahun ditahan kerana menunggang motosikal dengan melakukan aksi 'wheelie' dan gaya mengangkat tayar hadapan di lampu isyarat hadapan pasar raya Giant, Senawang.

"Seorang lagi lelaki berumur 26 tahun ditahan atas kesalahan menggunakan nombor pendaftaran palsu serta tidak dapat memberi keterangan yang memuaskan di Jalan Rasah di sini,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, kesemua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, Seksyen 108(3)(f) APJ 1987 dan Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil (AKK) 1955. - Bernama