
SHAH ALAM - Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) akan menerima tujuh bot pelbagai guna untuk memantapkan lagi peranan pasukan berkenaan.
Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) (Pasukan Gerakan Khas) Bukit Aman, Datuk Mastor Mohd Ariff berkata, bot baharu itu bukan sahaja untuk operasi keselamatan malah membabitkan misi menyelamat mangsa banjir.
"Bot ini dari jenis rata yang sesuai digunakan khususnya apabila melibatkan banjir di taman perumahan," katanya dalam sidang akhbar selepas program misi bantuan banjir di Surau At-Taqwa Taman Sri Muda di sini pada Rabu.

Hadir sama, Timbalan Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), Asisten Komisioner Rosman Kasman, Timbalan Pengurus Besar Yayasan Restu, Mohd Taufiq Izham Ismail dan Pengerusi Surau At-Taqwa, Mustafa Othman.
Menurutnya, dalam misi pasca banjir baru-baru ini, seramai 400 anggota FRU ditugaskan.
"Pasukan berkenaan terlibat dari awal lagi sepanjang banjir melanda. Antara bantuan yang diberikan adalah membersihkan sekitar rumah mangsa banjir, pemberian bakul makanan dan lain-lain," katanya.
Pada program itu, sebanyak 1,000 naskhah al-Quran, dapur dan bakul makanan diserahkan kepada penduduk yang terjejas banjir di Taman Sri Muda.
