
RANAU: Anggota penyelamat sedang berusaha menjejaki seorang warga emas yang dilaporkan hilang oleh saudara maranya apabila gagal pulang ke rumah selepas memeriksa perangkap ikan yang dipasangnya di Sungai Keliu, di sini baru-baru ini.
Lelaki berumur 65 tahun itu, Moijin bin Gamiyan (gambar), dari Kg Tinanom di sini masuk ke dalam hutan pada 1 Januari lalu.
Selepas tidak pulang selama tiga hari, anak perempuannya, Norliza Moijin, menghubungi polis yang kemudian mengemukakan laporan itu kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat, di sini.
Sepasukan anggota penyelamat, diketuai Pegawai Bomba dan Penyelamat, Ridwan Mohd Taib, bersama empat anggota dan sebuah kenderaan utiliti bergerak ke lokasi yang terletak kira-kira 75 kilometer dari balai.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, DSP Simiun Lomudin, berkata mangsa kali terakhir dilihat memakai baju berwarna biru dan seluar celoreng. Dia masuk ke dalam hutan dengan membawa parang dan barait (beg galas).
Beliau memberitahu Harian Ekspres, walaupun tiada sebarang laporan mengenai banjir di kampung itu, air sungai di hampir melimpah berikutan hujan lebat yang berlaku sejak Tahun Baharu.
Beliau berkata, mangsa keluar untuk memeriksa perangkap ikan yang dipasangnya di sepanjang Sungai Keliu, salah satu cabang sungai utama Liwagu Kogibangan yang naik airnya.
Beliau berkata 21 anggota PDRM, Bomba dan Penyelamat, APM dan RELA menyertai usaha pencarian itu. Mereka disertai penduduk dari kawasan sekitar.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

