8 Tempat Sejuk Untuk Percutian Di Dalam Malaysia

Travel
6 Jan 2022 • 12:00 PM MYT
Muhammad Khairul
Muhammad Khairul

An avid runner who loves to write about running and everything

image is not available

Bagi anda yang hendak bercuti ke luar negara kerana sukakan cuaca sejuk dan nyaman, kini anda tidak perlu untuk pergi ke luar negara untuk cuaca sebegitu.

Percaya atau tidak, Malaysia mempunyai tempat yang bercuaca sejuk. Di sini disenaraikan lapan tempat sejuk untuk percutian di dalam Malaysia:

1. Bukit Tinggi

Mahu merasakan suasana ala filem Eropah klasik? Jadi Bukit Tinggi adalah tempat yang mesti anda lawati.

Bertemakan perkampungan serta banggunan Perancis zaman Renaissance, Colmar Village Alsace adalah tarikan utama di sini. Berjalan di sini akan membuatkan anda merasa seperti berada pada zaman lampau Eropah. Bagi penggemar seni bina fotografi, tempat ini boleh menjadi medan fotografi anda dengan berlatar belakangkan banggunan kurun ke lapan Eropah.

Selain Colmar Village, terdapat juga tarikan lain seperti Japanese Village iaitu perkampungan Jepun tradisional yang dilengkapi dengan kolam ikan koi, taman bunga serta batu berlumut yang cantik. Tersedia juga di sini perkhidmatan untuk anda mencuba Kimono, iaitu pakaian tradisi masyarakat Jepun agar anda dapat merasai sendiri keunikan budaya negara matahari terbit ini.

Bagi ibu bapa yang membawa anak ke Bukit Tinggi, apa kata anda membawa mereka ke Rabbit Park. Di sini terdapat 200 jenis arnab yang anak anda boleh kenali dan bermain serta haiwan yang lain seperti rusa. Di samping itu, disediakan juga perkhidmatan fotografi bersama haiwan disini untuk dijadikan kenangan.

2. Cameron Highland

Terletak setinggi 1829 meter dari aras laut dengan suhu mencecah antara 10°C dan 20°C, Cameron Highland adalah salah satu tempat menarik yang patut anda lawati.

Tanah tinggi yang terletak sejauh 300km dari ibu kota. Bukan sahaja terkenal kerana suhunya yang sejuk, malahan ia juga terkenal dengan tanaman buah-buahan terutama strawberry. Kampung Taman Sedia Strawberry serta Big Red Farm Strawberry adalah antara tempat yang anda boleh lawati jika mahu mencuba buah elit ini.

Jangan lupa juga untuk menikmati teh ketika berada di sini. Hamparan ladang teh yang terbentang luas dan menghijau, di samping cuaca yang sejuk dan angin yang sepoi bahasa bertiup ketika anda sedang menghirup secangkir teh, adalah satu pengalaman yang tidak boleh anda lepaskan ketika berada di sini.

image is not available
Photo by Sokmean Nou on Unsplash

3. Genting Highland

Bagi warga kota yang mahukan short escape pada hujung minggu, Genting Highland adalah tempat yang sesuai untuk anda. Dengan jarak hanya 58km dari ibu kota, anda tidak perlu pergi jauh untuk menjadikan mood anda lebih happening pada hujung minggu.

Dengan julukan City of Entertaiment taman tema adalah tarikan utama pengunjung ketika berada di sini. Antara permainan yang terkenal adalah spin crazy yang membuatkan anda berputar seperti pendulum gergasi yang boleh anda cuba ketika berada di Skytropolis Indoor Theme Park, atau anda boleh berkunjung ke Genting Taman Tema Luar untuk menaiki roller coaster Jika anda penggemar permainan video, mungkin Vision City Video Games Park ibarat syurga untuk anda.

Bagi pencinta alam sekitar, jangan lupa untuk melawat Butterly Wonderland di mana anda dapat melihat pelbagai jenis rama-rama yang beraneka warna. Anda juga boleh menaiki kereta kabel berkelajuan 6 meter per saat di Awana Sky untuk melihat keindahan pemandangan alam di sekitar Genting Highland sambil menghirup udara segar.

image is not available
Photo by seb. on Unsplash

4. Bukit Fraser

Bukit Fraser atau Fraser Hill adalah satu tempat yang sesuai untuk anda, jika anda hanya mahu menghabiskan masa cuti anda secara santai.

Pekan kecil yang terletak di Banjaran Titiwangsa ini menyerupai suasana perkampungan pendalaman di negara Eropah. Tarikan utama Bukit Fraser adalah seni bina banggunan asal yang masih dikekalkan daripada zaman koloni British.

Pemandangan indah serta kaya dengan hidupan liar adalah antara salah satu tarikan Bukit Fraser yang tidak mungkin mengecewakan anda, terutamanya bagi jurufoto dan pencinta alam.

Bagi kaki golf, nikmatilah permainan golf anda di padang golf tertinggi yang terawal wujud di Malaysia seawal tahun 1925. Selain itu, anda juga boleh melakukan aktiviti berkuda serta memanah ketika anda berada di sini.

5. Gunung Jerai

Terkenal dengan julukan Puncak Kedah, gunung yang mempunyai ketinggian sekitar 1207 meter ini adalah satu tempat percutian yang terkenal terutama di kalangan orang utara. Berkedudukan di antara Kuala Muda serta Gurun Gunung Jerai, boleh dilihat dari daerah Pulau Pinang serta kawasan berhampiran Negeri Kedah.

Sebelum anda sampai ke puncak gunung, singgah sebentar di Hutan Lipur Titi Hayun yang terletak di kaki gunung. Di sini anda dapat menikmati kesejukan air terjun paling popular di kawasan ini, iaitu Air Terjun Titi Hayun di samping berkelah. Anda juga boleh melakukan aktiviti outdoor yang lain seperti jungle trekking dan hiking.

Anda juga boleh mandi manda serta berkhemah di dua lagi kawasan yang tidak kurang popularnya dan berhampiran dengan Titi Hayun, iaitu di Air Terjun Puteri Mandi dan Hutan Lipur Seri Perigi.

Jika anda sudah sampai di puncak gunung jangan lupa untuk melawat Taman Rimba. Taman ini kaya dengan orked pelbagai jenis serta memaparkan keindahan sawah padi dan perkampungan yang boleh dilihat ketika anda berada di puncak. Anda akan terkesima serta kagum dengan keindahan Ciptaan-Nya ketika berada di Puncak Gunung Jerai.

6. Kundasang

Jika anda merancang untuk bercuti di Sabah, jangan lupa untuk berkunjung ke Kundasang. Terletak 6km dari Taman Negara Kinabalu, Kundasang menjadi tempat wajib yang patut anda lawati.

Bagi peminat filem The Hobbit atau LOTR, Humble Hobit Home ada menyediakan penginapan menyerupai filem tersebut ketika anda berada di sini. Penginapan di sini menyediakan peralatan lengkap yang diperlukan sepanjang percutian serta anda juga boleh menikmati pemandangan gunung dilengkapi hamparan rumput hijau ketika anda menginap di sini.

Selain itu jika anda seorang penggemar aktiviti sukan lasak, Taman Negara Kinabalu adalah tempat yang patut anda kunjungi. Di sini terdapat pelbagai aktiviti sukan lasak disediakan seperti jungle trekking. Selain itu, anda juga boleh berkelah sambil berjalan ke air terjun ketika berkunjung ke sini.

Tidak lengkap percutian anda di Kundasang jika anda tidak mengunjungi Desa Dairy Catle Farm. Tempat yang mempunyai vibe ala New Zealand ini memberikan anda peluang untuk melihat pemprosesan susu lembu, proses memerah susu lembu dan sebagainya. Anda juga boleh membeli serta menikmati susu lembu yang segar ketika berada d sini.

7. Gunung Kinabalu

Gunung yang terletak di Daerah Ranau Sabah ini adalah Gunung yang tertinggi di Malaysia. Dengan ketinggian 4095 meter dari aras laut Gunung Kinabalu menjadi wishlist orang kebanyakan terutama para penggemar sukan hiking sebagai salah satu tempat wajib untuk dilawati.

Pendakian gunung yang ketiga tertinggi di Asia Tenggara yang sejauh 8km mengambil masa 2 hari 1 malam. Ada tempat penginapan yang disediakan di Laban Rata untuk anda bermalam semalaman sebelum anda meneruskan pendakian pada keesokan harinya.

Bulan Februari sehingga Mac adalah waktu ideal pendakian dilakukan kerana hujan turun lebih sedikit pada bulan itu. Terdapat 5000 jenis flora dan fauna yang hidup di Gunung Kinabalu yang boleh didapati di lereng gunung serta di puncak. Di puncak gunung anda akan dapat melihat puncak ini dibaluti awan serta pemandangan indah yang memukau mata.

image is not available
Photo by Pat Whelen from Pexels

8. Bukit Larut Taiping

Kawasan dengan ketinggian 1200 meter ini adalah kawasan tadahan air hujan terbanyak di Malaysia.

Bukit Larut atau nama lainnya Maxwell Hill mempunyai suhu antara 15°C dan 25°C. Dengan suhu yang sejuk serta udara yang segar, Bukit Larut adalah tempat yang ideal yang untuk percutian anda. Selain itu, kawasan ini juga kaya dengan flora dan fauna serta popular dengan aktiviti melihat burung.

Aktiviti lain yang anda boleh lakukan di sini adalah dengan menaiki Land Rover ke puncak bukit. Aktiviti ini sangat menyeronokkan dan anda akan merasai seperti berada dalam satu pengembaraan. Usai sampai di puncak jangan lupa mengambil gambar keindahan pemandangan di puncak bukit sebagai memori.

Akhir Kata

Negara kita mempunyai banyak tempat sejuk yang serupa dengan negara luar. Diharapkan artikel ini dapat berkongsi sebanyak tempat sejuk menarik di negara kita yang anda boleh lawati.

Marilah kita bercuti di dalam negara kita sendiri kerana negara kita kaya dengan tempat sebegini di samping dapat membantu ekonomi. Ciptalah juga seberapa banyak kenangan bersama keluarga tercinta anda ketika dalam percutian serta luangkan masa bersama keluarga selagi mampu.


Muhammad Khairul adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.