
Kota Kinabalu: Keadaan banjir di Sabah bertambah buruk, dengan jumlah mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) mencatatkan peningkatan sehingga petang Ahad.
Di KOTA MARUDU, jumlah mangsa yang dipindahkan ke PPS melonjak kepada 1,664 orang membabitkan 457 keluarga.
Sembilan PPS dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Teritipan, St. Theresa, Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek, Dewan Longob, Bangunan Kelab Rukun Tetangga Salimandut, Dewan Asin Asin, Sekolah Rendah Advent Damai, Dewan Sekolah Menengah Advent Goshen dan SK Ranau.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Daerah Kota Marudu dalam satu kenyataan pada Ahad menyenaraikan mangsa yang dipindahkan termasuk 49 orang bayi, 17 Orang Kelainan Upaya (OKU) dan 103 orang warga emas.
ANGGOTA polis membantu mangsa di Kota Marudu.
Antara kampung yang terjejas ialah Kampung Asin-Asin, Beliajung, Tingkalanon, Tongkungon, Morion, Tandek, Popok Laut, Radu, Langkon, Pancur, Tambun, Sungoi Darat, Ranau, Rakit, Marudu Laut, Taiwan, Popok Darat, Kandawayon, Sungai Buaya, Salimandut, Goruntung, Damai, Balagaton, Mosolog, Sumbilingon, Longob, Bintasan Laut, Bengkongan, dan Kampung Magandai.
Sungai Bandau berada pada paras bahaya iaitu 7.90 meter kira kira jam 2 pagi Ahad sebelum turun kepada paras amaran setinggi 7.60 meter kira-kira jam 12 tengah hari.
Manakala Sungai Bongon setakat jam 12 tengah hari Ahad masih berada pada paras bahaya iaitu 8.44 meter.
Antara jalan yang terjejas ialah Jalan Langkon Pitas (Bulatan Popok) dan Jalan Bulatan Goshen yang tidak boleh dilalui kenderaan ringan.
Pasukan pemantau daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) membuat pemantauan di kampung-kampung yang telah dinaiki air, dan operasi menyelamat mangsa banjir sedang dilakukan oleh pasukan penyelamat.
ANTARA jalan ditenggelami air di Beluran.
Di BELURAN, polis menerima dua laporan orang hilang berkaitan banjir kilat yang disebabkan oleh hujan lebat sejak tiga hari lalu.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Kasim Muda berkata kedua-dua kes berlaku pada 31 Disember 2021 di dua tempat berasingan.
“Mangsa pertama seorang lelaki berumur 28 tahun dilaporkan hilang bapanya semasa memukat di Kuala Penubukan.
“Sementara mangsa kedua berumur 26 tahun, seorang pekerja estet dilaporkan hilang semasa cuba menyeberang jalan di Kg Kinadaan,” katanya kepada media, Sabtu.
Semasa kejadian, paras air meningkat lima kaki dari aras jalan dan Kaerul yang dipercayai dihanyutkan arus deras, disedari hilang oleh majikannya.
Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) segera dilancarkan di kedua-dua tempat oleh polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam.
Mangsa pertama kemudian ditemui sekitar jam 12.30 tengah hari Sabtu lepas di kawasan bakau kira-kira 1.5 kilometer dari tempat kejadian.
Operasi SAR mangsa kedua masih dijalankan di sekitar Kg Kinadaan yang juga dikenali sebagai Kg Matanggal.
Di TELUPID, seramai 22 mangsa dari empat keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kampung Rancangan Nangoh, di sini selepas rumah mereka terjejas banjir pada Ahad.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah dalam satu kenyataan menyatakan, sehingga 4 petang Ahad juga, tiga keluarga melibatkan 61 mangsa turut dipindahkan ke PPS Dewan Kampung Bauto.
Manakala dalam tempoh sama, di PAITAN, tiga keluarga dengan 15 mangsa dipindahkan ke PPS Dewan SMK Pamol dan 10 keluarga dengan 37 mangsa dipindahkan ke PPS Dewan Binsulung.
Paras beberapa sungai di Paitan juga meningkat menyebabkan beberapa kampung turut terjejas selain ada jalan tidak boleh dilalui susulan banjir. Pemantauan juga telah dibuat oleh pihak dan agensi berkaitan.
Sementara di SANDAKAN, APM Sabah melaporkan, 17 keluarga dengan 61 mangsa ditempatkan di PPS Masjid Nur Iman Kg Sungai Manjang.
Hujan lebat dan kadang kala sederhana sejak beberapa hari lepas juga menyebabkan banjir berlaku dengan pantas di kawasan terlibat.
Susulan hujan dan fenomena air pasang, Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Mohd Azhar Hamin, juga menasihati semua penduduk terus berhati-hati dan mengambil langkah perlu untuk keselamatan mereka.
Sementara itu, di KINABATANGAN, seramai 22 mangsa banjir di Kampung Segaliud dalam kawasan Sekong dipindahkan sementara ke Masjid Ar Rahman Kampung Segaliud susulan rumah mereka dinaiki air banjir pada Sabtu.
Mangsa yang dipindahkan melibatkan enam keluarga dengan 13 lelaki dan sembilan wanita.
JAMBATAN konkrit yang ‘terputus’ dari tebing di Ranau.
Di RANAU, hujan berterusan di seluruh negeri mengakibatkan pelbagai kejadian tidak diingini seperti banjir dan hakisan tanah di samping kerosakan kemudahan dan harta benda awam sehingga mengancam keselamatan penduduk di sini.
Pada hari pertama Tahun Baharu, sebuah jambatan konkrit di Kg Lungkidau rosak kerana hakisan tanah di tebing sungai memutuskan jambatan dari seberang dan bahagian tengah jambatan itu juga mengalami kerosakan, menandakan hakisan lanjut di tengah Sungai Matupang.
Jumlah air sungai yang banyak juga menyebabkannya melimpah ke kawasan di sepanjang sungai, mengakibatkan banjir di kawasan penanaman kelapa sawit serta memutuskan hubungan jalan menuju ke kampung-kampung yang terletak di kawasan lebih jauh.
Sehingga laporan ini ditulis, mujurlah, sebuah jambatan gantung yang terletak berhampiran jambatan konkrit rosak itu, masih dapat digunakan sebagai laluan tunggal bagi penduduk kampung untuk keluar.
Dalam kejadian lain, kawasan lot kedai Sedco di Kg Matupang Ranau turut mengalami kenaikan air kerana hujan berterusan menyebabkan air mengalir dari bahagian berbukit di belakang pekarangan kedai.
Pemerhatian awal pihak berkuasa mengesyaki bukit berteres antara punca utama banjir kilat itu kerana air hujan berlebihan tidak dapat diserap oleh tanah di bukit tersebut yang baru dibersihkan untuk penanaman.
Selain itu, pembetung dan parit tersumbat di banyak kawasan berhampiran juga menyumbang kepada air bertakung di satu kawasan tertentu, dan tidak dapat mengalir secepatnya untuk mengelakkan kenaikan air banjir.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
