
Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menasihatkan rakyat Sabah khususnya di daerah yang terkesan dengan bencana banjir agar sentiasa bersiap siaga.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, semua pihak perlu berwaspada dengan amaran memandangkan cuaca buruk akan membawa kepada banjir kilat khususnya di lima daerah negeri ini.
“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri telah mengaktifkan 14 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di kelima-lima daerah.
“Pasukan keselamatan juga telah diarahkan untuk turun ke kawasan terjejas untuk membantu mangsa serta bersiap-siaga di kawasan yang berisiko tinggi.
“Bantuan makanan kecemasan juga sedang disediakan untuk diedarkan kepada mangsa-mangsa banjir oleh agensi berkaitan secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan di sini, Ahad.
Hajiji memberikan jaminan bahawa keselamatan penduduk adalah keutamaan kerajaan.
“Oleh itu, saya menyeru kepada semua pihak untuk mengambil langkah berjaga-jaga. Kerajaan negeri juga akan memastikan semua agensi dalam negeri ini bersedia untuk digerakkan apabila diperlukan,” katanya.
Pada 29 Disember 2021, Hajiji telah mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah diaktifkan untuk bersiap siaga dengan cuaca buruk melanda Pantai Tumur dan Utara negeri seperti diramalkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Katanya, beliau juga akan hadir dalam Mesyuarat Task Force Pengurusan Pasca Banjir Monsun Timur Laut secara maya yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada hari ini (Isnin).
Sehingga petang Ahad seramai 1,249 mangsa banjir daripada 432 keluarga telah dipindahkan di lima daerah iaitu Kota Marudu (1,019 mangsa, 376 keluarga), Sandakan (61 mangsa, 17 keluarga), Telupid (43 mangsa, lapan keluarga), Beluran (38 mangsa lapan keluarga), Pitas (36 mangsa 10 keluarga), dan daerah kecil Paitan (52 mangsa 13 keluarga).
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

