
Kota Kinabalu: Pelabur serta pemain industri dari Itali mula mencari peluang pelaburan di Sabah.
Duta Itali ke Malaysia Massimo Rustico berkata terdapat banyak peluang pelaburan berpotensi untuk pelabur Itali di Sabah.
“Sabah merupakan sebuah negeri yang berpotensi untuk pelaburan usahawan dan pemain industri.
“Pada asasnya pelabur-pelabur dari Itali telah melabur di Malaysia, namun kebanyakan di Semenanjung Malaysia,” ujarnya.
Teruja dengan peluang pelaburan di Sabah, Massimo komited untuk mempromosikan Sabah kepada pelabur lain.
“Ini merupakan masa yang terbaik untuk kita meneroka peluang pelaburan di Sabah.
“Saya teruja dengan penglibatan Kerajaan Negeri khususnya dalam usaha menarik pelabur asing untuk melabur di negeri ini.
“Kami akan mempromosikan Sabah kepada pelabur-pelabur dari Itali untuk melabur di Sabah.
“Ini merupakan permulaan kepada para pelabur dari Itali dan kita mengharapkan agar usaha ini akan memberikan manfaat kepada kita semua,” kata beliau kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang Di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu pada Selasa.
Dalam pada itu, Massimo turut memuji usaha Kerajaan Negeri dalam menganjurkan Sabah International Business And Economic Summit 2022 bagi meyakinkan pelabur untuk datang melabur ke Sabah.
Terdahulu, Juhar juga menerima kunjungan hormat oleh Duta Republik Korea, Lee Chi-Beom bersama delegasi.
Dalam kunjungan tersebut, Lee berharap Sabah akan menerima pelabur khususnya dalam bidang industri, selain aktiviti pelancongan.
Aktiviti pelancongan merupakan antara aktiviti ekonomi terbesar oleh Republik Korea ke Sabah di mana pada tahun 2019, sekitar 400,000 orang pelancong negara itu telah datang ke Sabah.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


