Dua hilang, bot pam meletup di Semporna

13 Jan 2022 • 3:29 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Punca letupan melibatkan bot pam di perairan Pulau Tatagan Semporna sedang disiasat.

Dua lelaki pada mulanya dilaporkan hilang selepas bot pam mereka meletup pada Rabu.

Dalam sidang media, di sini pada Rabu, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun mengesahkan menerima maklumat awal bahawa berlaku letupan.

Ketika berita ini disediakan, beliau masih belum dapat mengesahkan punca letupan itu.

“Pada masa ini, kami tidak dapat mengesahkan sama ada letupan itu berpunca dari bom ikan atau tidak.

“Setakat ini, tiada kesan bot, mangsa atau saksi ditemui. Kerana itu, kami hanya boleh mengesahkan ada menerima maklumat mengenai letupan berkenaan tetapi belum dapat menentukan punca letupan itu, ketika ini,” jelasnya.

Menurutnya, kejadian itu berlaku pada Selasa namun polis hanya dimaklumkan pada jam 9.30 pagi, pada Rabu.

Mengenai kewarganegaraan dua orang yang hilang itu, beliau berkata siasatan masih berjalan.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri berkata mereka dimaklumkan kira-kira jam 10.34 pagi, Rabu.

Jabatan itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada jam 6.16 petang berkata mereka menerima panggilan kecemasan daripada polis yang melaporkan mengenai kejadian bot pam meletup di perairan Semporna antara Pulau Selakan dan Pulau Tatagan.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, kejadian itu berlaku pada Selasa, dan jumlah mangsa yang terlibat tidak dapat ditentukan,” kata kenyataan itu.

Ketika berita ini disediakan, operasi mencari dan menyelamat telah ditangguhkan pada jam 5.40 petang.

Operasi mencari diteruskan hari ini.