Enjin Bot Meletup, 2 Nelayan Hilang

12 Jan 2022 • 9:08 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Operasi mencari dan menyelamat dilancarkan sebaik sahaja pihak berkuasa menerima laporan berhubung 2 nelayan yang hilang dalam letupan sebuah bot di Pulau Tatagan. - Gambar ihsan JBPM

SEMPORNA - Dua nelayan dikhuatiri lemas selepas hilang dalam letupan sebuah bot nelayan di perairan Pulau Tatagan, dekat sini, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Faisal Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu, pagi tadi, selepas seorang saksi mendakwa menyaksikan kejadian tersebut, semalam.

"Sehubungan itu, operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan bermula hari ini membabitkan permukaan laut.

"Bagaimanapun, sehingga jam 4 petang tadi, mangsa masih belum ditemui," katanya.

image is not available
Operasi mencari dan menyelamat dilancarkan sebaik polis menerima laporan berhubung kejadian itu. - Gambar ihsan JBPM

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku jam 6.08 petang semalam.

"Seorang lelaki yang juga nelayan di situ mendakwa terdengar satu letupan kuat daripada sebuah bot pam dalam jarak 200 meter dari lokasi dia berada," katanya.

Bagaimanapun, menurut Mohd Farhan, pihaknya tidak menemui sebarang bot yang meletup atau mangsa dalam radius dua batu nautika dari kawasan pencarian.

"Sehubungan itu, saya meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau maklumat berhubung kejadian itu, agar tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya. - Getaran, 12 Januari 2022