Lapor segera jika terima tawaran sijil digital vaksinasi palsu

10 Jan 2022 • 12:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SHAH ALAM - Individu yang ditawarkan mana-mana pihak bagi membeli sijil digital vaksinasi dalam MySejahtera dengan jumlah bayaran tertentu diminta melaporkan kepada polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, laporan yang dibuat bagi membolehkan siasatan dan tindakan diambil oleh pihak polis.

"Bagaimanapun, sehingga kini belum ada laporan diterima oleh polis berhubung seseorang itu diperdayakan oleh sindiket-sindiket berkenaan perkara pembelian sijil digital vaksinasi ini.

"Jadi, kita minta agar mangsa atau mana-mana individu yang cuba diperdayakan supaya segera melaporkan kepada pihak polis," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, polis juga kini sedang memantau mengenai dakwaan tersebut.

"Tindakan tegas akan diambil kepada pihak yang cuba mengambil kesempatan dalam perkara ini. Pemantauan secara lanjut sedang dijalankan oleh pihak polis," katanya.

Pada Ahad, tular satu mesej menerusi aplikasi WhatsApp mendakwa boleh menyediakan atau membuat sijil digital vaksinasi dalam MySejahtera dengan bayaran sebanyak RM2,500 bagi setiap individu.

Sinar Harian melaporkan, individu yang menawarkan sijil digital itu mendakwa pembeli akan 'selamat' jika diperiksa oleh penguat kuasa selain sijil tersebut boleh digunakan di semua tempat.

Malah, sijil tersebut juga akan dipaparkan dengan maklumat pembeli itu sendiri seperti nama dan nombor kad pengenalan pada aplikasi MySejahtera.

Menurut mesej yang tular itu, pembeli hanya perlu menyediakan salinan kad pengenalan dan ID MySejahtera dan mengambil masa dua minggu selepas pembayaran dibuat sebelum MySejahtera pembeli dikemas kini dengan sijil tersebut.

Individu itu juga mendakwa, MySejahtera pembeli akan dikemas kini sehingga dos yang disyorkan selain turut akan menerima kemas kini dos penggalak.