
Kota Kinabalu: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan bahawa bantuan kewangan untuk mangsa banjir di Sabah akan disalurkan dengan segera.
“Kita akan hantar bantuan itu dalam beberapa hari lagi. Apa yang penting keadaan di sana terkawal,” katanya.
Perdana Menteri memberi jaminan itu sebagai menjawab permintaan negeri yang dibuat oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor ketika mesyuarat khas pasukan petugas pengurusan bencana banjir monsun Timur Laut yang diadakan secara maya pada pagi Isnin.
Terdahulu, Hajiji memberi taklimat kepada Perdana Menteri yang mempengerusikan mesyuarat khas itu sambil menyatakan bahawa setakat pagi Isnin, enam daerah iaitu Kota Marudu, Pitas, Paitan, Ranau, Sandakan dan Telupid terjejas banjir.
“Kita telah membuka 23 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah terjejas bagi menampung 874 keluarga yang membabitkan 2,435 orang mangsa banjir,” katanya.
Hajiji berkata semua agensi berkaitan yang diarahkan untuk membantu mangsa banjir telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik.
Setakat ini, katanya, Sabah telah menerima sebanyak RM200,000 dan RM674,000 lagi diperlukan sebagai bantuan kewangan untuk setiap keluarga terjejas.
Kerajaan Persekutuan mengumumkan setiap keluarga yang terjejas banjir akan diberi Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000.
Pada masa sama, Hajiji berkata Kerajaan Negeri turut mengagihkan bakul makanan kepada mangsa.
“Jadi, ia adalah baik Kerajaan Persekutuan mempercepatkan penyaluran bantuan kewangan kepada Sabah,” katanya.
Hajiji memberitahu Perdana Menteri bahawa Kerajaan Negeri sedang menunggu laporan kerosakkan infrastruktur akibat banjir di semua daerah yang terjejas.
Ketua Menteri akan melawat ke daerah Kota Marudu, Pitas dan Paitan untuk meninjau keadaan banjir dan berjumpa dengan mangsa-mangsa banjir esok (Rabu).
Turut menghadiri mesyuarat tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri, Datuk Rosmadi Sulai dan Pengarah Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri, Datuk Ag Shahminan Datuk Ag Sahari.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
