
Kota Kinabalu: Sabah meneruskan trend peningkatan kes harian Covid-19 dengan catatan 342 kes baharu pada Khamis, pertambahan 7 kes berbanding Rabu lalu.
Menurut Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, (gambar) jangkitan baharu pada jumlah yang agak tinggi di setiap daerah agak membimbangkan.
Menurutnya, enam daerah mencatatkan jumlah kes baharu yang tinggi iaitu Kota Kinabalu dengan 60 kes (+20), Sandakan 40 kes (+7), Kota Marudu 34 kes (-30), Beaufort 34 kes (+20), Tuaran 33 kes (-7) dan Putatan 24 kes (+16).
Beliau menambah, 38 kes pada Khamis atau 11.11 peratus adalah angka yang disumbangkan melalui saringan kluster.
“Kesemua kes tersebut datang dari tujuh kluster aktif dengan tiga daripadanya adalah kluster baharu,” katanya. Ketiga-tiga kluster baharu di Tuaran, Keningau dan Lahad Datu itu adalah kluster pendidikan.
“Kluster Jalan Kiulu diisytiharkan di Tuaran di mana kes indeks adalah seorang pelajar SMK Tun Fuad, Kiulu berumur 14 tahun yang mula bergejala pada 17 Januari 2022.
“Kes indeks didapati positif setelah menjalani ujian RT PCR di klinik berdekatan. Saringan Kontak Rapat mendapati 14 pelajar lain turut positif,” katanya.
Kes indeks dalam Kluster Puri Seberang Keningau ialah seorang pelajar perempuan Tingkatan 5 SMK Keningau 1 berumur 18 tahun yang mula bergejala pada 20 Januari 2022.
“Bagaimanapun, pelajar itu hanya memaklumkan kepada pihak sekolah pada 26 Januari 2022. Ujian kendiri mendapati 18 pelajar lain turut positif.
“Susulan insiden berkenaan, ujian pengesanan RT PCR dijalankan dan mendapati 19 pelajar positif,” katanya.
Kluster Jalan Terusan di Lahad Datu 19 melibatkan pelajar di Asrama SMK Terusan di mana kes indeks adalah pelajar lelaki Tingkatan 1 berumur 13 tahun di SMK Terusan.
“Pelajar ini mula bergejala sejak 20 Januari 2022 dan disahkan positif RTK AG selepas menjalani saringan di Klinik Kesihatan Lahad Datu pada 23 Januari 2022.
“Jumlah kumulatif kes positif kluster ini ialah 10 kes,” kata Masidi sebelum menambah kesemua pelajar yang terlibat dalam ketiga-tiga kluster baharu itu telah diasing dan diberi rawatan sewajarnya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
