
Kota Kinabalu: Mereka yang menyambut perayaan Tahun Baharu Cina (TBC) awal bulan depan dibenarkan mengadakan upacara Sembahyang Khas Puak Hokkien di dalam premis rumah masing-masing pada waktu malam, mengikut tradisi masing-masing.
Jurucakap Covid-19 Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata upacara sembahayang khas pada 8 dan 9 Februari mesti dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan untuk tempat ibadat bukan Islam.
Beliau berkata majlis makan malam perjumpaan keluarga pada 31 Januari, upacara sembahyang pada 1 dan 2 Februari, serta sembahyang Chap Goh Mei pada 21 Februari, dibenarkan tetapi tertakluk kepada SOP.
“Aktiviti melawat dibenarkan untuk mereka yang telah divaksin sepenuhnya, manakala majlis sambutan Tahun Baharu Cina dibenarkan atas jemputan sahaja dan pada kapasiti 50 peratus ruang tempat, serta jarak fizikal satu meter.
“Orang ramai yang tidak dijemput tidak dibenarkan menghadiri majlis sambutan. Majlis rumah terbuka tidak dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan, Rabu lalu.
Masidi menambah, persembahan tarian naga/ unicorn/ singa dan harimau dibenarkan dari 31 Januari hingga 15 Februari, dengan syarat semua penari diberi vaksin sepenuhnya dan dengan kebenaran pihak polis untuk bergerak.
“Jarak fizikal satu meter mesti dipatuhi dan penggunaan pelitup muka adalah wajib,” katanya.
Masidi berkata rumah ibadat bukan Islam dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 10 malam tertakluk kepada SOP, dengan setiap sesi sembayang tidak melebihi dua jam dan diselitkan dengan kerja-kerja sanitasi 30 minit sebelum sesi sembahyang berikutnya.
Individu yang tidak divaksin atau divaksinasi separa tidak dibenarkan masuk ke premis atau menyertai upacara sembahyang.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
