#TangkapAzamBaki, 8 Individu Dipanggil Beri Keterangan

24 Jan 2022 • 6:30 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Antara aktivis yang dipanggil pihak polis bersama peguam ke IPD Brickfields beri keterangan. - Gambar oleh Azim Rahman

KUALA LUMPUR - Lapan individu dipanggil bagi memberikan keterangan susulan penganjuran Perhimpunan #TangkapAzamBaki di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, hari ini.

Mereka terdiri daripada Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amira Aisya; Naib Presiden Muda, Dr Thanussha Francis Xavier; Ahli PKR, Adam Adli dan Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Howard Lee Chuan How.

Turut dipanggil ialah Ketua Pemuda Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Abu Hafiz Salleh Hudin; Naib Ketua Pemuda AMANAH, Zubair Rahim; Pengarah Strategi Pemuda AMANAH, Asmaalif Abdul Adam dan Ahli DAP Mandeep Singh.

Wakil peguam kumpulan berkenaan, Kamil Munim berkata, siasatan ke atas kelapan-lapan individu terbabit dilakukan berdasarkan dua situasi iaitu kejadian yang berlaku di Restoran Amjal dan perhimpunan di Bangsar, Sabtu lalu.

“Setakat hari ini, seramai 14 individu dipanggil untuk memberikan keterangan namun hanya lapan sahaja yang boleh hadir.

“Selebihnya akan ditetapkan semula tarikh untuk hadir memberikan keterangan mereka bagi membantu siasatan polis berhubung perkara ini,” katanya di sini hari ini.

Menurut Kamil, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan, Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Peraturan 9, 10 serta 17 Akta Kawalan Penyakit Berjangkit.

Kesemua mereka tiba di IPD Brickfields pada jam 2.10 petang dan keluar dua jam kemudian.

image is not available
Ketua Pemuda Pakatan Harapan Howard Lee Chuan How bercakap kepada media di luar IPD Brickfields. - Gambar oleh Azim Rahman

“Mereka memberikan kerjasama baik terhadap siasatan pihak polis dan tiada sebarang isu yang dibangkitkan.

“Setakat dimaklumkan mereka tidak akan dipanggil lagi melainkan ada makluman selanjutnya daripada pihak polis,” katanya.

Sementara itu, Amira mewakili MUDA mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan badan siasat bebas untuk menyiasat isu yang dihadapi Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Katanya, badan bebas tersebut boleh ditubuhkan dalam kalangan Ahli Parlimen menerusi Jawatankuasa Terpilih Parlimen atau Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Menurutnya, isu ini bukanlah suatu perkara ringan kerana melibatkan jawatan tertinggi dalam badan yang menjaga integriti negara.

“Sekiranya ada sebarang salah laku yang berlaku dalam isu ini, Azam Baki perlu meletakkan jawatannya. Kami tidak akan mengambil mudah perkara ini.

“Bagi kami di pihak anak-anak muda, usaha ini tidak akan terhenti di perhimpunan dekat Bangsar sahaja, kami akan terus-terusan mendesak kerajaan dan badan bertanggungjawab untuk menjalankan siasatan dengan telus,” katanya. - Getaran, 24 Januari 2022