
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik menafikan sebarang penglibatan dalam tuduhan rasuah yang didakwa berlaku semasa beliau menjadi Menteri Pendidikan.
Tegasnya, dakwaan tersebut adalah usaha untuk mencemarkan nama baiknya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan perjuangan terhadap isu pendidikan.
"Saya telah membaca laporan Malaysiakini bertarikh 30 Januari 2022 berhubung dakwaan rasuah melibatkan saya yang ditimbulkan oleh pihak tertentu. Saya menafikan sekeras-kerasnya kenyataan rekayasa dusta berbaur fitnah ini.
“Saya melihat perkara ini sebagai satu usaha pembunuhan karakter berunsur jahat (mala fide) oleh pihak tertentu terhadap saya menjelang PRN Johor dan komitmen saya terhadap isu-isu pendidikan,” katanya hari ini.
Justeru Maszlee berkata, beliau bersedia disiasat kerana tiada apa yang perlu disembunyikan.
“Hidup dan perjuangan saya adalah untuk memperjuangkan pendidikan, nasib orang kelainan upaya (OKU), masyarakat miskin, kebajikan rakyat Simpang Renggam dan integriti bagi negara yang tercinta,” katanya.
Beberapa media memetik sumber sebagai berkata, Maszlee didakwa menerima sejumlah wang dan sebuah kenderaan jenis Vellfire dari satu syarikat di bawah Kementerian Pendidikan semasa beliau menjadi menteri.
Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi satu kenyataan memaklumkan terdapat aduan dibuat terhadap Maszlee.
Dua aduan diterima SPRM berhubung kesalahan rasuah dan penyelewengan dan siasatan sedang menjalankan agensi itu.
Dalam pada itu, SPRM menafikan sekeras-kerasnya tuduhan kononnya pegawai suruhanjaya itu melakukan intimidasi sebagaimana didakwa Maszlee.
Menurut kenyataan SPRM, pihaknya menerima dua aduan terhadap bekas Menteri Pendidikan itu dan sedang menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut.
SPRM menegaskan bahawa proses siasatan perlu dijalankan setelah terdapat aduan rasmi berhubung sesuatu kesalahan rasuah dan penyelewengan, sebagaimana peruntukan undang-undang.
Sebelum ini, Maszlee turut disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Johor sekiranya Pakatan Harapan memenangi PRN di negeri itu.
Malah beliau itu turut dikaitkan bakal bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang pada PRN Johor. - Getaran, 31 Januari 2022

