Kebakaran Kedai Perabot, Lelaki Ditemui Rentung

21 Jan 2022 • 1:21 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Seorang lelaki rentung dalam kebakaran yang berlaku di sebuah kedai perabot di Kampung Cheras Baru, awal pagi tadi. - Gambar Bomba KL

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki rentung, manakala dua lagi selamat dalam kebakaran membabitkan sebuah kedai perabot di Kampung Cheras Baru di sini, awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur berkata, pasukan itu menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 2.42 pagi.

image is not available
Keadaan sebuah kedai perabot yang terbakar di Kampung Cheras Baru, awal pagi tadi. - Gambar Bomba KL

Menurut beliau, 37 anggota dengan 11 jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheras, Balai Bantuan BBP Bandar Tun Razak, BBP Sungai Besi serta BBP Hang Tuah ditugaskan ke lokasi.

"Anggota yang tiba lapan minit kemudian mendapati sebuah kedai membuat perabot terbakar 100 peratus. Kita menghadapi kesukaran memadam api kerana risiko arus elektrik.

"Bagaimanapun, anggota berjaya mengawal kebakaran daripada merebak bangunan sebelah pada jam 3.30 pagi,” katanya hari ini.

Menurutnya, terdapat tiga mangsa berusia 50-an hingga 60-an berada di premis terbabit ketika kejadian.

"Dua mangsa berjaya dikeluarkan dengan selamat, manakala seorang pekerja ditemui rentung oleh Unit Anjing Pengesan (K9) bomba.

“Punca kebakaran masih disiasat," katanya. - Getaran, 21 Januari 2022