4 Keluarga Tinggal Sehelai Sepinggang Selepas Kediaman Musnah Terbakar

13 Jan 2022 • 5:10 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Pasukan bomba mengawal api daripada merebak ke kediaman berdekatan dalam kebakaran di Kampung Suok Batu, Kota Kinabalu, hari ini.

KOTA KINABALU - Empat keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka di Kampung Suok Batu, di sini musnah dalam kebakaran, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.37 pagi melalui sistem MERS999.

image is not available
4 rumah dan 5 kereta milik penduduk musnah terbakar dalam kebakaran di Kampung Suok Batu, Kota Kinabalu, hari ini.

Katanya, susulan panggilan itu, sepasukan 14 anggota dan pegawai bersama dua jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) bergegas ke lokasi kejadian.

“Sejurus tiba, pasukan mendapati kebakaran melibatkan empat buah rumah jenis tidak kekal dan lima buah kenderaan terbakar sepenuhnya.

“Kerja memadam kebakaran menggunakan dua aliran sepanjang 300 kaki dengan empat pancutan daripada jentera Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang.

“Satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan dari jentera BBP Kota Kinabalu turut digunakan dengan sumber air daripada pili bomba berhampiran,” katanya.

Menurut jurucakap sama, pasukan bomba berjaya menyelamatkan dua rumah berdekatan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Kesemua mangsa daripada empat keluarga membabitkan 23 orang yang terkesan kebakaran itu dipindahkan ke Dewan Kivavang, Kepayan,” katanya.

Operasi dilaporkan terkawal pada jam 7.06 pagi dan misi menyelamat ditamatkan pada jam 9.40 pagi. - Getaran, 13 Januari 2022