Mayat Mangsa Terakhir Bot Karam Ditemui, Masih Lengkap Berpakaian

3 Jan 2022 • 11:15 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar terakhir Rahena (kanan) bersama adiknya Jefry sebelum bot terbalik.

TAWAU - Mayat mangsa ketiga bot karam di Kampung Batu Payung, berjaya ditemui Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), di 2.2 batu Nautika Selatan Sungai Membelua, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 8.37 pagi itu, mangsa, Rahena Muhaimin, 20, ditemui dalam keadaan tertiarap dan lengkap berpakaian berwarna gelap.

Timbalan Pengarah Zon Maritim Tawau Komander (M) Amiludin Yenggah ketika ditemui berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung semula sekitar jam 6 pagi tadi.

"Mayat mangsa ditemui pada hari ketiga SAR dilancarkan kira-kira 2.9 batu Nautika dari lokasi bot karam.

"Mayat kemudian dibawa ke tepi pantai Kampung Batu Payung untuk tujuan pengecaman oleh ahli keluarga sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

image is not available
Keluarga mangsa tidak dapat menahan selepas mangsa terakhir ditemui, pagi tadi.

Sementara itu, raungan dan esak tangis keluarga mangsa kedengaran di pesisir pantai sebaik sahaja pihak berkuasa membuka bungkusan mayat bagi tujuan pengecaman.

Beberapa ahli keluarga dibantu orang kampung dan pihak berkuasa dilihat cuba menenangkan keluarga mangsa yang bersedih dengan kematian mangsa.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Besar Tawau untuk bedah siasat.

image is not available
Rahena Muhaimin, mayat mangsa ketiga bot karam, ditemui pagi tadi.

Getaran sebelum ini melaporkan, sebuah bot yang dinaiki sembilan individu termasuk enam beradik terbalik dipukul ombak di perairan Tinagat pada jam 3.30 petang Sabtu lalu.

Tiga daripada mangsa iaitu Jaidi Muhaimin, 5, Saiful Muhaimin, 15, dan Rahena Muhaimin, 20, didapati hilang, manakala penumpang lain berjaya diselamatkan kumpulan nelayan yang kebetulan berada di lokasi kejadian.

Mayat Jaidi dan Saiful berjaya ditemui ahli keluarga dengan bantuan penduduk kampung di dua lokasi berasingan di Kampung Batu Payung, semalam.

Sementara itu, bapa mangsa Muhaimin  Balayan, 52, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak berkuasa dan penduduk kampung kerana membantu mencari mayat ketiga-tiga anaknya.

"Sudah tentu sedih, namun, kami reda dengan ujian yang Allah berikan buat kami sekeluarga," katanya.

Selain APMM, operasi SAR ini turut disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan lebih 20 penduduk kampung. - Getaran, 3 Januari 2022