Letusan Gunung Berapi Tonga Cetus Amaran Tsunami di Jepun, Kepulauan Pasifik

16 Jan 2022 • 10:28 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Visual dari ESN pada 15 Januari 2022 menunjukkan ombak besar membadai perairan Suva City di Fiji. - Gambar AFP/ @Emosi Keresoni / ESN

Letusan gunung berapi di Tonga telah mencetuskan amaran tsunami dan arahan pemindahan di Jepun.

Ia juga menyebabkan ombak besar di beberapa pulau Pasifik Selatan, dengan rakaman video di media sosial menunjukkan ombak menghempas rumah-rumah di kawasan pantai.

Agensi meteorologi Jepun mengeluarkan amaran tsunami pada awal pagi Ahad dengan memaklumkan ombak setinggi tiga meter (9.84 kaki) dijangka berlaku di kepulauan Amami di selatan.

Sebelum itu, ombak melebihi satu meter telah direkodkan sementara stesen penyiaran NHK melaporkan tiada kerosakan atau kemalangan jiwa.

Agensi Meteorologi Jepun dalam taklimatnya, menggesa orang ramai supaya tidak menghampiri kawasan laut sehingga amaran tsunami dan amaran tsunami yang lebih serius ditarik balik.

Jurucakap agensi berkenaan berkata, permerhatian terhadap paras laut tidak mengikut corak biasa tsunami, susulan gempa bumi berkenaan.

''Kita belum tahu sama ada ini (gelombang) sebenarnya tsunami,'' katanya.

Amaran tsunami kali terakhir dikeluarkan di Jepun pada November 2016, selepas gempa bumi berukuran 7.4 magnitud menggegarkan timur laut Jepun. - Reuters