Hormati Keluarga Tun M, Henti Sebar Berita Palsu - Annuar Musa

Politics
23 Jan 2022 • 5:15 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Annuar Musa - Gambar fail Bernama

KUALA LUMPUR - Orang ramai digesa agar tidak menyebarkan berita palsu mengenai keadaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Tan Sri Annuar Musa berkata, sebarang laporan mengenai keadaan Ahli Parlimen Langkawi itu hanya dianggap sahih apabila ia dikeluarkan oleh ahli keluarga atau pengurusan Institut Jantung Negara (IJN).

“Hormati situasi keluarga Tun saat ini.

“Sebaiknya kita turut berdoa agar Allah SWT permudahkan segala urusan rawatan Tun, dan semoga Tun segera sihat,” katanya menerusi satu ciapan di Twitter.

Sejak semalam, pengamal media sudah mula berkampung di IJN bagi mengikuti perkembangan terkini Dr Mahathir.

Ia susulan timbul dakwaan beliau kini dimasukkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU) dan dalam keadaan membimbangkan.

Getaran difahamkan, IJN akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkembangan terkini Pengerusi PEJUANG itu dalam masa terdekat.

Sekadar info, Dr Mahathir dibenarkan keluar dari IJN pada 13 Januari selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu, 7 Januari lalu. - Getaran, 23 Januari 2022.