Tangan Kanak-Kanak Tersepit Mesin Penguli Tepung

13 Jan 2022 • 3:32 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Bomba terpaksa memotong besi mesin penguli untuk mengeluarkan tangan seorang kanak-kanak yang tersepit pada mesin berkenaan di Bukit Gantang, pagi tadi.

TAIPING - Gara-gara bermain dengan mesin penguli tepung, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun terpaksa menahan kesakitan selepas tangan kirinya tersepit dalam alat tersebut.

Dalam kejadian di Markas Pas, Pintu Gerbang, Sungai Petai, Bukit Gantang pada kira-kira jam 8 pagi itu, khidmat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak terpaksa dipanggil bagi mengeluarkan tangan mangsa.

Jurucakap JBPM Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada kira-kira jam 8.10 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping digegaskan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba di situ, anggota JBPM mendapati tangan seorang kanak-kanak lelaki tersepit di besi penguli mesin tepung.

“Anggota terus melakukan kerja penyelamatan dengan memotong besi mesin penguli berkenaan menggunakan peralatan khas.

“Selepas 12 minit kerja penyelamatan dijalankan, tangan mangsa dikeluarkan sebelum dia diserahkan kepada pasukan perubatan untuk rawatan akibat kecederaan dialami,” katanya yang memaklumkan operasi itu ditamatkan pada jam 8.58 pagi. - Getaran, 13 Januari 2022