Bot bawa PATI karam: Enam mayat ditemui, seorang selamat

18 Jan 2022 • 4:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

PONTIAN - Seorang wanita yang merupakan antara tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dikhuatiri lemas dalam tragedi bot karam di perairan Pulau Pisang pada pagi Selasa, ditemui selamat oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Wanita berkenaan tiba di Jeti Persatuan Nelayan Pontian Besar, kira-kira jam 2.30 petang menaiki bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Wanita itu dilihat menangis setibanya di jeti berkenaan sebelum dibawa ke ambulans yang menanti di jeti untuk mendapatkan rawatan lanjut.

image is not available

Dalam pada itu, enam mayat dipercayai penumpang bot yang karam terbabit berjaya ditemui dan dibawa ke Jeti Nelayan Pontian Besar.

Mayat pertama dan kedua dinaikkan di jeti berkenaan kira-kira jam 2.35 petang, manakala baki empat mayat terakhir pula dibawa naik kira-kira jam 3.04 petang.

Sebelum itu, seramai tujuh PATI dikhuatiri lemas, manakala enam lagi ditemui selamat oleh nelayan tempatan selepas bot fiber yang dinaiki mereka terbalik dan karam di perairan Pulau Pisang di sini pada Selasa.

image is not available

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, seorang daripada enam PATI yang diselamatkan nelayan tempatan itu berada dalam keadaan kritikal dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Pontian.