Lebih Muatan, 9 Mangsa Bot Karam Terselamat

18 Jan 2022 • 5:26 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Keadaan bot yang karam dipukul ombak. - Gambar ihsan JBPM

TAWAU - Sembilan individu termasuk lima kanak-kanak menempuh detik cemas selepas bot yang mereka naiki karam akibat dipukul ombak berhampiran Jeti Kampung Bangau-Bangau, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 9.45 pagi itu, bot berkenaan sedang melalui kawasan berkenaan sebelum terbalik dipukul ombak.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Atas Air Semporna, Faisal Ahmad berkata, pihaknya dihubungi pemilik jeti berhampiran berhubung kejadian itu pada jam 9.52 pagi.

“Sepasukan pegawai dan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian yang hanya terletak kira-kira 100 meter dari BBP Atas Air Semporna.

“Sebaik tiba, beberapa mangsa sedang diselamatkan orang ramai dan pihak kami meneruskan usaha menyelamat mangsa yang masih berada dalam air,” katanya.

Menurut Faisal, seramai dua lelaki, dua wanita dan lima kanak-kanak berjaya diselamatkan dalam kejadian tersebut.

“Setakat ini, belum dapat dipastikan arah perjalanan mangsa memandangkan kawasan tersebut sememangnya menjadi laluan utama kepada penduduk dari beberapa pulau ke pekan.

“Bagaimanapun, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada muatan bot berlebihan yang turut membawa tong berisi ikan,” katanya. - Getaran, 18 Januari 2022