Kes harian Covid-19 meningkat kepada 253

12 Jan 2022 • 2:43 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Jumlah kes harian Covid-19 meningkat kepada 253 pada Selasa berbanding 161 pada Isnin lalu, menurut jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.

“Ia diperhatikan bahawa peratusan jumlah kes kategori Saringan Kontak Rapat (45.8 peratus) dan kategori Saringan Bergejala (43.1 peratus) hampir seimbang pada hari ini.

“Ini jelas mencerminkan betapa meluasnya virus Covid-19 di tengah-tengah masyarakat serta kelalaian orang ramai daripada mematuhi pelbagai Prosedur Operasi Standard (SOP),” katanya.

“Kita mengharapkan peningkatan kes secara mendadak ini bukan disebabkan pelbagai acara sambutan Tahun Baharu yang mengabaikan SOP dan nasihat Kementerian Kesihatan yang lain.

“Jika acara sambutan Tahun Baharu adalah punca peningkatan kes hari ini, tidak mustahil kita akan menyaksikan jumlah kes harian yang lebih tinggi pada masa akan datang,” katanya.

Beliau juga menyebut bahawa 50 (19.76 peratus) daripada 253 kes pada Selasa melibatkan kanak-kanak berumur di bawah 12 tahun yang belum layak untuk menerima vaksin.

“Statistik jangkitan melibatkan kanak-kanak bawah 12 tahun agak tinggi dan membimbangkan. Diharapkan semua ibu bapa dan guru-guru di sekolah dapat mengambil langkah dan inisiatif yang boleh mengurangkan risiko jangkitan dalam kalangan mereka yang belum layak menerima vaksin,” katanya.

Pada Selasa, 10 daerah mencatatkan kes dua angka didahului Kota Kinabalu dengan sejumlah 49 kes (meningkat 20 kes), Tuaran 29 kes (meningkat 10 kes), Kota Marudu 19 kes (meningkat 14 kes), Penampang 18 kes (meningkat lima kes) dan Sandakan 15 (meningkat 12 kes). Hanya Putatan dan Kunak yang tidak mencatatkan sebarang kes baharu.

Sejumlah 248 daripada 253 pesakit baharu hari ini berada dalam Kategori Satu dan Dua, dua pesakit dalam Kategori Tiga, dan satu setiap satu dalam Kategori Empat dan Kategori Lima. Satu lagi kes masih disiasat oleh Jabatan Kesihatan Negeri.

Sementara itu, empat kematian Covid-19 direkodkan di Sabah pada Selasa, iaitu di Tawau, Pitas, Tambunan dan Kota Belud.

Seramai 288 pesakit Covid-19 telah discaj, sementara 419 masih di hospital, 327 di pusat kuarantin risiko rendah, dan dua di pusat tahanan sementara.

Tiga puluh lima pesakit Covid-19 berada di Unit Rawatan Rapi, sementara 14 memerlukan alat bantuan pernafasan. Dua puluh enam pesakit Tahap Empat dan Lima belum divaksin.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.