Kerajaan Negeri belum sedia buka sempadan

LocalPolitics
21 Jan 2022 • 2:09 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri belum bersedia untuk membuka semula sempadannya bagi tujuan pelancongan dari luar negara.

Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kerajaan perlu melihat dengan teliti pelbagai aspek sebelum membenarkan pintu sempadan dibuka kepada pelancong asing.

Masidi berkata beliau sedar mengenai gesaan daripada beberapa pihak yang meminta kerajaan membenarkan kemasukan pelancong asing ke Sabah khususnya dari China.

“Saya tahu keghairahan sesetengah pihak meminta sempadan negeri dibuka semula kerana mereka (pemain pelancongan) berdepan kemarau pelancong terutama dari China.

“Tetapi sebelum kita merengek atau merungut tentang perkara ini, saya juga mahu mereka berfikir bahawa di China sendiri pun mereka mengamalkan pendekatan yang lebih tegas berbanding negara lain.

“Malah rakyat mereka sendiri (di China) tidak dibenarkan keluar dan dikurung di wilayah tertentu, jadi jika kita membuka sempadan kita, adakah jaminan orang mereka (dari China) akan datang ke negara kita? Ini yang kita perlu pertimbangkan dengan teliti,” katanya.

Masidi berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Mohd Noor untuk menyampaikan bantuan pendidikan khas pelajar yang mengambil SPM, STPM dan STAM 2021 serta melancarkan program baharu berkaitan pemerkasaan pendidikan di Sabah di sini pada Rabu.

“Oleh itu, adalah perlu untuk menimbang perkara ini dengan betul dan jangan biarkan kebimbangan untuk mendapatkan pelancong dari negara tertentu membuka risiko lebih tinggi jangkitan (Covid-19) kepada rakyat Sabah.

“Saya fikir kita harus melihat perkembangan (Covid-19) di negara lain dengan bijak dan bukan hanya melihat isu pelancongan tetapi isu kesihatan global.

“Apabila melihat dari sudut global, banyak negara tidak membuka sempadan mereka dan kemudian jika kita membuka sempadan kita hanya kerana sesetengah orang mahu, kita akan kelihatan janggal apabila kita melakukannya dan kita akan dianggap sebagai berlagak bijak untuk membuka sempadan kita (kepada pelancong asing) manakala negara lain belum bersedia untuk dibuka,” katanya.

Susulan itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan menggesa mereka (pihak meminta kerajaan membuka semula sempadan) supaya bersabar walaupun ini akan memburukkan lagi sektor pelancongan negeri.

Apabila negara lain membuka semula sempadan mereka, katanya, beliau optimis Kerajaan Negeri juga akan mengikuti langkah itu.

Sehubungan itu, Masidi menyarankan penggiat industri menumpukan kepada pelancongan tempatan di mana mengikut statistik terkini ketibaan pelancong di Sabah, seramai 2.7 juta pelancong adalah dari dalam negara.

“Sementara kita menunggu pembukaan semula sempadan, mengapa kita tidak menumpukan kepada pelancongan tempatan/domestik? Bayangkan dengan hanya 30 peratus daripada 2.7 juta pelancong yang datang ke Sabah, dengan keadaan semasa kita akan bercakap tentang 881,000 orang.

“Mengikut pengiraan, kita akan menjana pendapatan RM2 bilion untuk sektor pelancongan dalam tempoh setahun. Jadi sementara menunggu padi masak, kita berjagung-jagung dulu,” katanya.

Mengenai sama ada kerajaan Sabah akan menyediakan pusat kuarantin khas untuk pelancong apabila pintu sempadannya dibuka, Masidi berkata ia akan melibatkan protokol antarabangsa yang merupakan peraturan sehala tetapi melibatkan persetujuan bersama dan prosedur dengan negara lain.

Sehubungan itu, beliau berkata beliau memang mencadangkan agar negara-negara Asean menumpukan kepada penentuan protokol dalam kalangan mereka (negara Asean) di mana protokol yang bekerjasama dan memudahkan perjalanan di rantau ini sambil menekankan keselamatan kesihatan seperti yang dilakukan Malaysia dan Singapura.

“Saya fikir saya hanya boleh mengatakan secara ringkas bahawa kita akan cuba menjadi sekreatif yang mungkin tetapi pada masa yang sama, pandemik itu kelihatan sangat tidak dapat diramalkan dan kemudian kita harus bersedia untuk ketidakpastian ini dan bertindak balas dengan sewajarnya.

“Mesti ada bukan sahaja satu pilihan tetapi perlu ada pilihan lain A, B dan C yang mana satu daripada pilihan ini boleh digunakan apabila keadaan menentukan,” katanya.

Menjawab soalan, Masidi berkata sempadan Sabah terbuka untuk perniagaan dan pelabur tetapi terdapat sekatan tertentu di mana mereka yang datang ke Sabah mesti mematuhi syarat bahawa mereka mesti sihat dan sudah divaksin sepenuhnya.

Jika mereka dari luar negara, katanya, mereka mungkin perlu dikuarantin di Kuala Lumpur sebelum memasuki Sabah, antara lain.

“Semasa kita melakukan itu, dalam keterbatasan yang kita lalui sekarang, saya rasa ia tidak bermakna semuanya sudah berakhir tetapi kita mesti proaktif untuk memulakan pemulihan (ekonomi) dengan mengalu-alukan pelabur ke Sabah.

Mengenai sama ada dua sekolah sebelum ini di Tambunan (16 Januari) dan Ranau (18 Januari), yang dikenal pasti sebagai kluster perlu ditutup, Masidi berkata kerajaan cuba mengelak penutupan sedemikian melainkan jangkitan virus Covid-19 mengakibatkan bilangan pelajar yang ramai.

Tetapi melihat Ranau, katanya kecuali ada data baharu, data menunjukkan jumlah pelajar yang dijangkiti tidak terlalu ramai kerana terhad kepada satu bilik asrama sahaja.

“Jadi, seboleh-bolehnya kami ingin mengelak daripada menutup. Pengajaran yang kita pelajari daripada pandemik ini ialah cara kita menguruskannya secara berbeza dari dahulu dan sekarang.

“Dahulu kita tidak mempunyai vaksin dan cara untuk mengurangkan atau membendung jangkitan daripada terus merebak adalah dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau perintah berkurung secara menyeluruh.

“Tetapi sekarang kita mempunyai vaksin dan seperti yang saya jelaskan baru-baru ini bahawa vaksin Covid-19 mampu mengurangkan gejala mereka yang dijangkiti virus itu,” katanya.

Oleh itu, Masidi berkata pendekatan Sabah adalah untuk memastikan semua orang mendapat vaksin dan memastikan mereka terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Jadi, vaksin bukanlah sesuatu yang membuat anda kebal daripada jangkitan Covid-19 kerana ia hanya mengurangkan simptom atau kesan selepas dijangkiti,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.