
Sugut: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) disaran untuk menubuhkan sebuah Pasukan Bergerak bagi membantu penduduk yang terjejas banjir di kampung-kampung luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sugut, Datuk James Ratib berkata, ketika banjir yang berlaku di Sugut dan Beluran, terdapat segelintir penduduk, khususnya warga emas yang sakit dan uzur, tidak berkemampuan untuk ke klinik untuk mendapatkan rawatan.
Beliau berkata, dengan adanya Pasukan Bergerak KKM, ia akan memudahkan pesakit di kawasan terjejas banjir mendapatkan ubat dan rawatan segera.
“Ada beberapa penduduk yang terlantar sakit di kawasan banjir di sekitar kawasan Sugut. Untuk ke klinik atau hospital, perkara itu agak rumit ketika ini kerana ada kawasan yang masih sukar dilalui,” katanya.
James, yang juga Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah berkata demikian ketika menyerahkan bakul makanan di empat kampung sekitar Sugut pada Khamis.
Sekitar 700 bakul makanan sumbangan Wakil Rakyat Dun Sugut diagihkan kepada penduduk terjejas di Kg Langkawi, Kg Sungai-Sungai, Kg Paitan dan Kg Masingapoh.
Sementara itu, beliau turut
menyampaikan sumbangan bot dan enjin sangkut kepada ketua masyarakat di Zon Lingkabau bagi tujuan kecemasan sekiranya berlaku banjir di kawasan itu.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
