‘Ork dulu' punca Kelantan di tangga kedua tercorot PICK

10 Jan 2022 • 6:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

KOTA BHARU - Berasa selesa dan beranggapan kononnya cukup dengan dua dos suntikan vaksin Covid-19 yang diterima sebelum ini menyebabkan golongan berusia antara 18 tahun dan ke atas di Kelantan bertangguh dalam pengambilan dos penggalak atau 'booster'.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata, keadaan itu sekali gus menyebabkan negeri ini setakat ini berada pada kedudukan kedua tercorot dalam keseluruhan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dalam negara dengan kemajuan 61.7 peratus.

Katanya, sehingga Isnin, Kelantan mencatatkan hanya 187,104 individu yang menerima suntikan dos penggalak berbanding daripada keseluruhan 1.2 juta jumlah populasi penduduk di negeri ini.

“Dulu kita menghadapi masalah bagi program vaksin pertama dan berhabisan berbelanja untuk iklan di radio serta televisyen dan akhirnya dapat capai juga 95 peratus kemajuan walaupun lambat.

“Apabila datang pula dos penggalak ini, rakyat kita ni biasalah apabila sudah cucuk dua dos, mereka ‘ork’ (bertangguh) dulu, masalah perangai ‘ork’ ni, satu hal,” katanya kepada pemberita di Hotel Perdana di sini pada Isnin.

Beliau sebelum itu menghadiri Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan dan Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).

Watikah disampaikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan turut dihadiri Yang Dipertua MPKB-BRI, Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf.

Beliau berkata, pihaknya akan berhubung dengan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan bagi meneruskan kempen-kempen supaya dapat meningkatkan kesedaran rakyat di negeri ini agar mengambil suntikan penggalak bagi mengekang penularan Covid-19.

“Saya berharap rakyat kita mengambil dos penggalak kerana kita tahu varian Covid-19 berubah-ubah dalam pelbagai mutasi dan sekarang ini Omicron serta dibimbangi muncul yang lain.

“Kita harap tubuh kita ada imunisasi untuk melawan setiap varian baru,” katanya.

Sementara itu, beliau turut memberi teguran kepada segelintir peniaga kebelakangan ini yang bersikap sambil lewa dan melanggar prosedur operasi standand (SOP) pencegahan penyakit iaitu tidak memakai pelitup muka.

“Maaf kerana disebutkan antara peniaga kita ramai sangat yang tidak pakai pelitup muka, pelanggan pakai tetapi peniaga tidak pakai.

“Saya menyeru kepada mereka patuhilah SOP ini demi mengekang penularan Covid-19 dan setakat ini tidak ada tempat yang ditutup akibat perkara ini tetapi penguatkuasaan akan diadakan dari semasa ke semasa bersama MPKB-BRI bagi memastikan pematuhan SOP,” katanya.