Apa Itu Drop?

7 Jan 2022 • 12:00 PM MYT
Muhammad Khairul
Muhammad Khairul

An avid runner who loves to write about running and everything

image is not available

Berlari atau lebih mesra dipanggil “jogging” menjadi sukan popular di kalangan masyarakat Malaysia baru-baru ini. Hal ini boleh dilihat apabila lebih ramai melakukan aktiviti ini pada setiap petang dan juga lambakan soalan mengenai sukan ini di media sosial seperti Facebook, Twitter dan banyak lagi. Antara soalan yang paling popular di media sosial yang sering ditanya adalah mengenai kasut lari. Jadi artikel ini akan mengupas salah satu soalan popular iaitu mengenai drop.

Definisi Drop

Apa itu drop? Persoalan ini kerap ditanya apabila seseorang mahu membeli kasut larian. Drop ataupun ada juga yang menggunakan terma heel to toe offset, dalam bahasa mudahnya adalah perbezaan ketinggian antara bahagian tumit kasut dan bahagian depan kasut. Sebagai contoh, jika bahagian tumit kasut mempunyai ketinggian 30mm manakala bahagian depan mempunyai ketinggian 20mm, jadi drop untuk kasut itu adalah 10mm. Begitu juga jika bahagian tumit kasut mempunyai ketinggian 30mm manakala bahagian depan mempunyai ketinggian 26mm jadi drop untuk kasut itu adalah 4mm, begitulah seterusnya. Setiap kasut mempunyai drop yang berbeza untuk memenuhi keperluan setiap pelari, jadi pemilihan drop perlulah di buat berdasarkan kesesuaian biomekanik dan corak larian anda sendiri.

Jenis Drop

Drop boleh dikategorikan kepada dua jenis, iaitu high drop dan low drop. Untuk high drop, ketinggian bermula dari 7mm sehingga 12mm manakala low drop bermula dari 0mm sehingga 6mm. Pasti ramai yang tertanya, apa perbezaan antara high drop atau low drop, bukan? Baiklah kita mulakan dengan penerangan low drop dahulu.

Salah satu perbezaan adalah kasut low drop lebih menekankan seseorang berlari dengan midfoot atau forefoot strike. Jadi jika anda seorang yang menggunakan midfoot atau forefoot strike, mungkin kasut lari jenis low drop lebih sesuai untuk anda.

Jika anda seseorang yang tengah mengalami kecederaan di bahagian lutut, kasut low drop mungkin boleh membantu anda untuk berlari lebih selesa kerana kasut low drop menekankan penggunaan di bahagian bawah kaki seperti betis atau buku lali terutamanya. Jadi, ini dapat mengurangkan beban penggunaan lutut atau pinggang, jika anda berlari menggunakan kasut jenis low drop ketika anda sedang mengalami kecederaan seperti It Band.

Baiklah mari kita beralih pula kepada kasut high drop. Bagi sesiapa yang selesa dengan heel strike penggunaan kasut jenis high drop lebih sesuai untuk anda. Selalunya penggunaan high drop juga adalah pilihan kebiasaan untuk pelari pemula kerana lambakan kasut jenis high drop di pasaran.

Seperti yang dijelaskan, penggunaan kasut high drop banyak menggunakan bahagian kaki seperti lutut, jadi bagi sesiapa yang mempunyai kecederaan di bahagian betis atau buku lali penggunaan kasut high drop digalakkan. Hal ini kerana semasa penggunaan kasut high drop, banyak impak akan diserap di bahagian atas kaki supaya dapat mengurangkan impak dibahagian bawah kaki. Hal ini berguna jika anda mengalami masalah seperti plantar fasciitis.

Jenama

Pasti anda tertanya-tanya bukan jenama mana yang menjual kasut low drop atau kasut high drop. Sebenarnya sekarang banyak jenama yang membuat kasut larian dalam pelbagai drop. Sebagai contoh, Saucony ada mengeluarkan kasut low drop iaitu Saucony Kinvara dengan 4mm drop, mereka juga ada mengeluarkan kasut high drop iaitu Saucony Ride dengan 8mm drop.

Ada juga jenama yang mengeluarkan kasut low drop sahaja seperti Skechers yang kebanyakan kasut mereka adalah diantara 4mm-6mm drop dan ada juga jenama yang mengeluarkan kasut high drop sahaja. Jadi dengan ini anda sebagai pengguna mempunyai banyak pilihan untuk memilih drop kasut yang sesuai dengan anda.

Konklusi

Tahniah kerana anda berjaya menghabiskan artikel ini. Dengan ini diharapkan sedikit sebanyak anda tahu jenis drop kasut yang perlu anda pilih dan sesuai untuk anda. Ingat artikel ini hanya sebagai tips sahaja untuk anda memilih kasut dengan drop yang sesuai. Selebihnya anda yang sendiri yang perlu menentukan kasut bagaimana yang sesuai untuk anda. Kasut yang terbaik adalah kasut yang selesa anda pakai. Oleh itu, semoga anda teruskan berlari dan ingat berlari untuk gembira bukan untuk stress okay!


Muhammad Khairul adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.