
SEMPORNA: Umno Sabah sedia mempertimbangkan untuk meletakkan calonnya sekiranya Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya diadakan dalam tempoh terdekat.
Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin (gambar), berkata pertimbangan itu akan mengambil kira beberapa aspek terutamanya dari sudut sokongan rakyat di kawasan tersebut.
“Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas kita (BN) tidak meletakkan calon untuk bertanding di kawasan ini. Ia diwakili calon dari PBBM, Haji Daud Tampokon yang bagaimana pun tewas di tangan parti Warisan yang diwakili ketika itu oleh Manis Muka Mohd Darah,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan kepimpinan Umno bahagian Semporna di pejabat Umno bahagian itu, baru baru ini.
Kerusi DUN Bugaya diisytiharkan kosong setelah penyandangnya, Manis Muka Mohd Darah, meninggal dunia pada 17 November 2020.
Bagaimanapun, PRK ditangguhkan setelah negara diisytiharkan darurat ekoran penularan pandemik Covid-19.
Menurut Bung, SPR kemungkinan akan mengadakan PRK DUN Bugaya dalam tempoh terdekat ini memandangkan kes harian pandemik Covid-19 di negara ini semakin berkurangan.
“Keputusan untuk mengadakan PRK di kawasan ini akan ditentukan oleh SPR dan di pihak kami (BN), kami bersedia menghadapinya dan bersedia menimbang untuk meletakkan calon sekiranya PRK berlaku,” katanya.
Bung yang juga Pengerusi Barisan Nasional Sabah berkata kekalahan calon BN, Datuk Abd Razak Tun Sakaran yang bertanding dalam PRU 14 bukanlah satu ukuran dan ianya tidak akan melemahkan semangat untuk meletakkan calon jika berlaku PRK dalam tempoh terdekat.
“Kita faham, pengaruh Datuk Shafie Apdal sebagai Presiden Warisan ketika itu masih kuat.
“Bagaimanapun, dalam situasai sekarang, penerimaan semula rakyat terhadap BN semakin meningkat.
“Ini dibuktikan dalam beberapa siri PRK dan terkini kemenangan BN semasa PRN Melaka, baru-baru ini,” katanya.
Bung menambah, di kawasan Bugaya sahaja Umno mempunyai 180 cawangan dan yakin jika ahli memberikan sokongan padu kepada calon BN/Umno, tidak ada sebab parti itu sukar untuk merampas kawasan tersebut.
“Apa yang penting, kepimpinan Umno bahagian ini perlu berkerja keras mendekati akar umbi dan semua struktur Umno bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri perlu digerakkan secara proaktif, keahlian parti perlu dibersihkan dan jika maklum balas positif , kita akan membuat ketetapan sama ada meletakkan calon atau sebaliknya,” tambah Bung.
Pada PRN lepas, Manis Muka mempertahankan kerusi di kawasan itu dalam persaingan tujuh penjuru.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


