20 orang terkorban dalam serangan pakatan Arab Saudi

19 Jan 2022 • 12:24 PM MYT
UmmahToday
UmmahToday

From Ummah To Ummah News Portal

image is not available

ADEN : Gabungan tentera pimpinan Arab Saudi melancarkan serangan terhadap sebuah bangunan di Sanaa, Yaman, mengorbankan 20 orang termasuk orang awam.

Menurut jiran dan doktor, 14 orang terbunuh apabila sebuah pesawat pakatan menyerang kediaman seorang pemimpin tertinggi tentera Houthi, termasuk isteri dan anaknya.

Serangan udara itu adalah tindakan balas terhadap serangan dron dan peluru berpandu kumpulan itu ke atas Emiriah Arab Bersatu (UAE) Isnin lalu, yang mengorbankan tiga orang.

Sebanyak lapan dron yang dilancarkan Houthi telah dipintas oleh pasukan pakatan dalam perjalanan ke Arab Saudi.

Menurut jurucakap PBB Stephane Dujarric, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres melahirkan kebimbangan dan kesedihan terhadap pengeboman pakatan itu.

Dujarric berkata semalam bahawa Guterres telah mengkritik serangan dron dan peluru berpandu ke atas UAE.

“Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sekali lagi menggesa semua pihak untuk mengekang diri sebaik mungkin bagi mengelak krisis ini daripada meningkat,” tambahnya.

Semalam, UAE meminta Majlis Keselamatan PBB menangani serangan dron dan peluru berpandu militan Houthi.

“Kami berharap Majlis Keselamatan mengeluarkan kenyataan tegas mengutuk insiden itu,” kata Duta UAE ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Lana Nusseibeh.

Menurut timbalan menteri luar negeri bagi kerajaan Houthi, yang mengawal bahagian utara Yaman, serangan pakatan mengelilingi bandar itu membunuh kira-kira 20 individu sepanjang malam.

image is not available

Beberapa trak minyak meletup di dua lokasi perindustrian di Abu Dhabi, menyebabkan kebakaran berhampiran lapangan terbang, dalam serangan pemberontak Houthi.

Menurut media Houthi dan penduduk di situ, serangan di bandar Sanaa yang dikawal kumpulan itu adalah antara yang terburuk sejak 2019.

-AGENSI