Enam ahli LPPR tidak setuju kenyataan Abu Zahar

Politics
8 Jan 2022 • 2:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Enam ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) tidak bersetuju dengan kenyataan Pengerusinya, Tan Sri Abu Zahar Ujang berhubung pemilikan jutaan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Mereka dalam satu kenyataan berkata, keputusan yang dibuat Abu Zahar menerusi sidang media pada Rabu lalu berhubung isu itu adalah pandangan peribadi beliau semata-mata.

“Ahli lembaga pada mesyuarat itu atau pada bila-bila masa selepas itu tidak menyatakan pendapat seperti yang disifatkan Abu Zahar,” kata mereka.

Sebelum ini, Azam didakwa memiliki lebih RM4 juta saham dan waran dalam dua syarikat tersenarai sewaktu menjadi Pengarah Siasatan SPRM antara tahun 2015 dan 2016.

Abu Zahar dalam satu sidang media pada Rabu memaklumkan LPPR berpuas hati dengan penjelasan Azam bahawa pemilikan saham yang menjadi pertikaian itu sebenarnya adalah milik Nasir Baki iaitu adiknya.

Mengulas lanjut, enam ahli lembaga penasihat LPPR itu berkata, sebelum sidang media berkenaan, mereka telah mengadakan perbincangan berasingan dengan Abu Zahar.

“Kami turut mencadangkan perkara ini dirujuk selanjutnya kepada mana-mana panel dan jawatankuasa seperti Jawatankuasa Bebas, Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah dan Panel Aduan SPRM.

“Bagaimanapun, pandangan dan cadangan kami tidak dibangkitkan dalam sidang media Abu Zahar.

“LPPR tidak mempunyai kuasa penyiasatan kerana ia ditubuhkan sebagai Lembaga Penasihat. Kami perlu memberikan penjelasan ini untuk menjaga integriti lembaga dan institusi,” ujar mereka.