Terbuka Australia: Shapovalov teruja berdepan Nadal

24 Jan 2022 • 4:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

PEMAIN Kanada, Denis Shapovalov menyifatkan satu penghormatan dapat menentang pemain berstatus bintang Rafa Nadal untuk merebut tempat pusingan seterusnya Terbuka Australia.

Pemain pilihan ke-14 kejuaraan itu akan berdepan Nadal selepas menyingkirkan pilihan ketiga dari Jerman, Alexander Zverev 6-3, 7-6(5), 6-3 di Margaret Court Arena.

"Ia satu penghormatan untuk menentang seorang lelaki seperti Rafa.

"Ia akan menjadi pertarungan impian apabila dapat menentangnya. Malah akan menjadi perlawanan yang sukar tetapi saya teruja menikmatinya," kata Shapovalov ketika mengulas mengenai lawannya dari Sepanyol yang dalam pemburuan gelaran Grand Slam ke-21.

Pemain berusia 22 tahun itu beraksi cemerlang menjinakkan Zverev juara Olimpik 2020 yang juga finalis Terbuka Amerika Syarikat, sekali gus kejutan terbesar dalam kariernya.

"Sejujurnya sudah tentu saya gembira dengan kedudukan permainan ini.

"Dalam setiap perlawanan, saya memberikan aksi terbaik," kata pemain berusia 22 tahun yang teruja untuk mencipta impak di Grand Slam.