Bot Karam Di Kunak, 3 Sekeluarga Lemas

14 Jan 2022 • 2:45 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Pasukan SAR menjalankan operasi pencarian mangsa bot pam karam di Pulau Tagabua, Kunak.

KUNAK - Seorang nelayan bersama dua anaknya ditemui lemas selepas bot pam dinaiki mereka karam di perairan Pulau Tagabua, semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Sabarudin Rahmat, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 4.44 petang hari sama.

Jelasnya, siasatan awal mendapati ketika kejadian, bot pam itu dinaiki empat individu, iaitu Saujal Mangguna, 31, isterinya, 35, dan anak mereka, Mohd Haizal Saujal, 5 serta Suriani Saujal, 3.

“Bot pam mereka naiki dipukul ombak dan angin kencang mengakibatkannya terbalik.

“Wanita itu diselamatkan orang awam, manakala nelayan dan dua kanak-kanak terbabit ditemui lemas,” katanya.

Sabarudin berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan pada jam 8 malam semalam dan ditangguhkan, sebelum diteruskan 8 pagi tadi.

Katanya, operasi itu membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dengan dibantu nelayan serta penduduk.

Menurut Sabarudin, mangsa terakhir ditemui pada jam 10.40 pagi hari ini.

“Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Kunak untuk bedah siasat.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, keluarga terbabit sedang menuju ke Pekan Kunak dari Kampung Bangkuruan, Lahad Datu untuk membeli barang keperluan. - Getaran, 14 Januari 2022

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved