
KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mengarahkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) untuk menyelaraskan bantuan kepada penduduk yang terputus hubungan akibat bencana banjir di Segamat, Johor.
Menurut beliau, segala bantuan yang disalurkan itu termasuk menggunakan jalan udara dan air.
“Sebuah helicopter milik Pasukan Gerakan Udara (PGU) juga akan digunakan bagi tujuan menghantar bekalan keperluan kepada penduduk di Segamat yang terputus hubungan ekoran jalan darat dinaiki air.
“Bagi operasi pasca banjir yang bakal dilaksanakan pula, elemen KDNKA seperti Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin, PGU dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) akan digerakkan untuk menjalankan proses pembersihan infrastruktur awam dan rumah ibadat di dalam daerah Segamat,” katanya hari ini.
Arahan itu dikeluarkan selepas beliau bersama Pengarah KDNKA, Datuk Hazani Ghazali meninjau aturgerak Polis Johor di daerah terbabit bagi Op Banjir di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) yang dibuka di Dewan Kelab Polis Daerah Segamat, Johor, semalam.
Menurut Acryl Sani, terdapat 3,961 mangsa membabitkan 1,047 keluarga dipindahkan di 53 Pusat Pemindahan Banjir (PPS) di seluruh daerah Segamat, setakat petang semalam.
“Terdapat enam agensi kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditugaskan dalam Op Banjir di daerah Segamat membabitkan 377 kekuatan keseluruhan.
“PDRM bersama rakan-rakan agensi keselamatan lain akan dan sedang mengambil tindakan segera di daerah Segamat serta lain-lain lokasi banjir dalam kontinjen Johor bagi memindahkan mangsa ke lokasi ditetapkan.
“Kami juga komited dalam memastikan kebajikan masyarakat kekal terpelihara,” katanya. – Getaran, 5 Januari 2022
