
Kota Kinabalu: Sabah mendaftarkan kluster tempat kerja baharu pada Isnin membabitkan kakitangan Hotel Perkasa di Kundasang.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Isnin, jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata kes indeks itu melibatkan seorang lelaki berusia 59 tahun yang merupakan pekerja di hotel berkenaan dan 39 lagi kontak rapatnya didapati turut positif.
“Melalui saringan bergejala, kluster baharu iaitu Kluster Jalan Kem Bina ditemui,” jelasnya.
Pada Isnin, katanya, jumlah harian kes Covid-19 stabil pada 161, dengan 157 daripada 161 kes itu berada dalam Kategori Satu dan Dua.
Tiada kes dalam Kategori Tiga sementara Kategori Empat merekodkan tiga kes dan Kategori Lima, satu kes.
“Jumlah kes harian kekal konsisten dan tidak jauh berbeza daripada angka semalam (165 kes).
“Terdapat penurunan empat kes berbanding semalam, menjadikan jumlah kes baharu di Sabah kepada 161 hari ini,” katanya.
Dengan 37 kes, Kota Kinabalu kekal sebagai daerah yang merekodkan kes baharu tertinggi, disusuli Penampang (19 kes), Tuaran (19 kes), Kota Belud (19 kes), Ranau (17 kes) dan Keningau (12 kes).
Enam daerah merekodkan kes dua digit, sebelas daerah mempunyai kes satu digit dan 10 daerah tidak merekodkan kes baharu.
Sementara itu, dua kematian akibat Covid-19 dilaporkan di Sabah pada Isnin, masing-masing satu di Kota Kinabalu dan Papar.
Seramai 217 pesakit Covid-19 dibenarkan keluar manakala 359 masih di hospital, 313 berada di pusat kuarantin berisiko rendah dan seorang dimasukkan ke kemudahan swasta.
Tiga puluh lima pesakit berada di Unit Rawatan Rapi dengan seorang memerlukan alat bantuan pernafasan.
Seramai 22 pesakit Tahap Empat dan Tahap Lima masih belum melengkapkan dos imunisasi mereka.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
