
Kota Kinabalu: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini, pada Rabu atas pertuduhan mengedar 211.60g kanabis.
Adrian Crnila Kareem, 29, yang dihadapkan di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles, dituduh melakukan perbuatan itu pukul 3.30 petang pada 5 Januari, tahun ini di sebuah bilik di sebuah unit di Millennium Court, Jalan Lintas, Kepayan di sini.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Adrian selepas pertuduhan dibacakan kepadanya.
Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu, membawa hukuman sama ada hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan dengan minimum 15 kali sebatan.
Pendakwaan memohon tarikh sebutan baharu sementara menunggu laporan kimia dan membantah ikat jamin memandangkan pertuduhan itu tidak memperuntukkan ikat jamin.
Lovely menetapkan 16 Februari untuk sebutan dan memerintahkan Adrian, yang diwakili oleh peguam Chin Tek Ming direman lanjut.
Dalam kes berasingan, tiga orang didenda sejumlah RM3,000 kerana memiliki peralatan judi.
Anastasia Clara, 21, Nur Alisah Tung, 24, dan Dyg Masni Abu Bakar, 35, masing-masing diperintah membayar denda RM1,000 atau dua bulan penjara.
Anastasia mengaku memilki dua keping teka-teki Wahui pukul 2.45 petang pada 6 Februari 2021 di kaki lima sebuah kedai di Putatan, Nur Alisah mengaku bersalah memiliki lima tiket teka-teki Wahui pukul 1.15 petang pada 2 November tahun lepas manakala Masni mengaku mempunyai satu teka-teki Wahui jam 3 petang pada 6 Januari tahun ini di kaki lima sebuah kedai di Putatan.
Mahkamah diberitahu pendakwaan bahawa ketiga-tiga mereka ditahan oleh polis kerana melakukan kesalahan itu di kawasan berkenaan.
Ketiga-tiganya didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan, atau denda sehingga RM3,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
