Medvedev tekad sekat Nadal cipta rekod Grand Slam

29 Jan 2022 • 12:36 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

BINTANG tenis Rusia, Daniil Medvedev bertekad mahu menghalang bintang Sepanyol, Rafael Nadal mencipta rekod memenangi gelaran Grand Slam ke-21 pada aksi final Terbuka Australia, pada Ahad.

Menurut pemain berusia 25 tahun itu, dia akan cuba sedaya upaya menyekat Nadal, sekali gus membiarkan rekod gelaran Grand Slam hanya dimenangi sebanyak 20 kali dalam kalangan tiga pemain utama dunia ketika ini melibatkan Roger Federer, Novak Djokovic dan Nadal.

“Setakat ini Federer, Djkokvic dan Nadal masing-masing merekodkan 20 gelaran Grand Slam setiap seorang dan kini Nadal berpeluang untuk mencatatkan gelaran ke-21.

“Oleh itu, saya tahu apa yang diburu ketiga-tiga pemain utama dunia itu dan kini berpeluang untuk menyekat salah seorang daripada meraka Nadal agar ‘tidak berjaya’ mencatatkan rekod memenangi gelaran Grand Slam ke-21.

“Namun jangan salah anggap, saya bukannya berpihak atau membantu sesiapa, cuma saya melakukan tugas saya dan memberikan fokus pada aksi final untuk cuba memenangi kejohanan ini (Terbuka Australia),” katanya.

Medvedev yang juga pemain nombor dua dunia mara ke final Terbuka Australia kali ini setelah menewaskan pemain ranking keempat dunia Stefanos Tsitsipas, 7-6 (5), 4-6, 6-4, 6-1 pada Jumaat.

Untuk rekod, kali terakhir Medvedev berdepan Nadal pada pentas akhir Grand Slam adalah pada Terbuka Amerika Syarikat (US Open) pada 2019 lalu di mana Medvedev tewas 5-7, 3-6, 7-5, 6-4, 4-6.

Mengulas aksi berdepan Nadal, Medvedev berkata, dia sudah memiliki percaturan sendiri bagaimana untuk berdepan pemain yang berusia lebih 10 tahun daripadanya itu.

Malah katanya, dia sudah lama memerhatikan gaya permainan Nadal dan menyifatkannya sebagai salah seorang pemain yang bagus dalam sukan tenis.

“Saya sudah lama memerhatikan Nadal dan saya menjangkakan final kali ini akan berlangsung dengan sengit.

“Namun, saya sudah bersedia dan saya akan cuba sedaya upaya untuk menyekat Nadal mencipta rekod Grand Slam kali dan dalam masa sama saya sendiri akan cuba melakar sejarah memenangi kejohanan ini,” katanya.