Daftar PICKids meningkat 663,641

8 Feb 2022 • 2:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

KUALA LUMPUR - Pendaftaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) kini meningkat kepada 663,641 setakat Isnin.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi akaun Twitternya pada Selasa memaklumkan, Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 untuk kanak-kanak (CITF-C) akan mengumumkan pelaksanaan program itu di peringkat sekolah.

"Pendaftaran dibuat oleh sekolah dan suntikan juga di sekolah dengan rakan-rakan,” katanya yang turut berkongsi info grafik mengenai pendaftaran PICKids setakat semalam menerusi catatan tersebut dengan pendaftaran tertinggi di Kuala Lumpur iaitu 70,900 kanak-kanak.

Menurut Khairy, bagi warga emas status vaksinasi akan menjadi tidak lengkap (warna putih dalam sijil digital MySejahtera) sekiranya tidak menerima dos penggalak sebelum 1 Mac.

"Sama juga kepada semua penerima Sinovac tidak kira umur. Tingkatkan perlindungan anda untuk selamat daripada Omicron,” katanya dalam akaun Twitternya.

"Jika tiada gejala atau gejala ringan (2A) tak perlu pergi Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Kementerian Kesihatan. Pengasingan diri dan kemas kini status kesihatan menerusi MySejahtera,” katanya.

Beliau berkata, pengasingan diri dan HSO bertujuan mengelakkan kesesakan di CAC yang perlu melakukan saringan ke atas kes-kes yang bergejala teruk sahaja.

"Jika anda bergejala atau mempunyai simptom ringan, duduk di rumah untuk pulih. Jika gejala yang dialami semakin teruk, maka dapatkan bantuan perubatan,” kata Khairy. - Bernama