21 Kematian Baharu COVID-19, Sabah Catat Jumlah Tertinggi

17 Feb 2022 • 1:03 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Sabah mencatatkan angka kematian tertinggi diikuti Johor dan Perak. - Gambar Sairien Nafis

KUALA LUMPUR - Sebanyak 21 kes kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 direkodkan setakat tengah malam tadi.

Berdasarkan data di laman sesawang COVIDNOW, sembilan kematian berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).

Angka terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kematian mencecah 32,201 dengan 6,523 daripadanya adalah kes BID.

Sabah mencatatkan angka kematian tertinggi, iaitu sembilan, diikuti Johor dan Perak masing-masing empat, Kedah (dua) manakala Kelantan dan Negeri Sembilan satu kes di setiap negeri.

Tiada kematian dilaporkan di Melaka, Pahang, Perlis, Pulau Pinang, Sarawak, Selangor, Terengganu, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Sehingga tengah malam tadi, sebanyak 202,863 kes aktif dilaporkan dengan 190,247 individu sedang menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 5,505 individu pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC), manakala 6,907 menerima rawatan di hospital.

Kira-kira 204 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 116 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sebanyak 7,912 kes sembuh turut dilaporkan.

Dalam pada itu, sebanyak 164,572 dos vaksin diberikan semalam, iaitu 117,684 dos penggalak, 45,251 dos pertama dan 1,637 dos lengkap.

Setakat ini, kira-kira 25,737,748 atau 78.8 peratus penduduk di negara ini sudah lengkap divaksinasi dengan 22,940,521 membabitkan golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas. - Getaran, 17 Februari 2022