
KUALA LUMPUR - Jumlah kes kematian akibat COVID-19 di negara ini menunjukkan peningkatan bagi tiga hari berturut-turut apabila merekodkan 31 kes baharu semalam.
Menerusi statistik Kementerian Kesihatan (KKM), kes kematian direkodkan pada Ahad dan Isnin, masing-masing 11 serta 24 kes.
Berdasarkan data di laman sesawang COVIDNOW, 10 kes kematian terkini itu berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).
Angka itu menjadikan jumlah kumulatif kematian akibat pandemik terbabit mencecah 32,180 kes dengan 6,514 daripadanya adalah BID.
Sebanyak 182,965 kes aktif dilaporkan sehingga tengah malam tadi dengan 170,635 individu sedang menjalani kuarantin di rumah.
Manakala, seramai 5,517 individu ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) dan 6,619 individu menerima rawatan di hospital.
Sejumlah 194 pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dengan 120 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Sebanyak 7,584 kes sembuh turut dilaporkan.
Dalam pada itu, sebanyak 154,776 dos vaksin diberikan semalam, membabitkan 110,745 dos penggalak, 42,371 dos pertama dan 1,657 dos lengkap.
Setakat ini, kira-kira 25,734,982 atau 78.8 peratus penduduk di negara ini sudah lengkap divaksinasi dengan 22,938,377 adalah golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas. - Getaran, 16 Februari 2022

