
KUALA LUMPUR - Pendakwah bebas, Ebit Lew dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tenom, Sabah hari ini atas 11 pertuduhan berhubung gangguan seksual.
Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.
Mengesahkan perkara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata, Ebit Lew atau nama sebenarnya, Ebit Irawan Lew Ibrahim Lew, 38, dituduh mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
“Beliau menghadapi pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seseorang melalui aplikasi WhatsApp.
“Semua pertuduhan adalah bagi kesalahan yang didakwa berlaku di daerah Tenom, Sabah antara bulan Mac hingga Jun 2021 terhadap seorang perempuan Melayu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Abdul Jalil berkata, jika sabit kesalahan, Ebit Lew berdepan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Menurutnya, polis meminta semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan provokasi berhubung kes itu bagi memastikan prosiding perbicaraan berjalan lancar. - Getaran, 18 Februari 2022

