Lelaki rentas daerah tanpa kebenaran didenda RM5,500

26 Feb 2022 • 12:33 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

PAPAR: Seorang lelaki berumur 28 tahun didenda RM5,500 atau dua bulan penjara jika gagal membayar jumlah itu oleh Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan merentas daerah tanpa surat kebenaran semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tahun lepas.

Mohamad Amirakhan Nasib mengaku bersalah di hadapan Majistret Afiq Agoes atas pertuduhan melanggar arahan Ketua Pengarah Kesihatan dengan melakukan perbuatan jam 6.30 petang, pada 15 Julai, 2021 di KM30 Jalan Lama Papar - Kota Kinabalu, di sini.

Amirakhan didakwa di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pegawai pendakwa kesihatan John Raynold Achon ketika mengemukakan fakta kes, memberitahu mahkamah bahawa Amirakhan didapati oleh polis yang menjalankan sekatan jalan raya Ops Covid-19 di tempat tersebut kerana melanggar PKPB dengan tidak mempunyai surat kebenaran merentas daerah.

Amirakhan kemudian dikenakan kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Pemulihan) 2021.

Amirakhan memohon denda lebih rendah dengan mengatakan dia merupakan anak sulung daripada lapan beradik dan masih belajar serta mengalami masalah kesihatan.

John memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada Amirakhan dan orang ramai agar sentiasa mematuhi setiap peraturan ditetapkan kerajaan bagi membendung penularan wabak Covid-19 dalam kalangan komuniti.

John berkata kesalahan yang dilakukan oleh Amirakhan adalah merentas sempadan daerah tanpa surat kebenaran.

“Keadaan ini berlaku ketika negara dilanda pandemik Covid-19 dan tindakan yang dilakukan tertuduh adalah melanggar arahan kerajaan.

“Ini adalah satu kesalahan yang boleh dikompaun tetapi dia gagal membayar kompaun mengikut masa yang ditetapkan,” kata John.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.