Perak Pertimbang Tempatkan Karya Seni Perakman, Pameran Solo Salleh Ismail Di Galeri Khas

6 Feb 2022 • 8:49 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad (kiri) melihat lukisan 'Age of Innocence' bersama pelukisnya Datuk Kamil Shafie (kanan). Gambar: Rasid Lamak, Bernama

Kerajaan Negeri Perak akan mempertimbang cadangan menempatkan karya seni bertemakan Perakman dan Pameran Solo Salleh Ismail di sebuah galeri khas.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata lukisan yang menterjemah kawasan di Lenggong dan Perak serta penceritaan perjalanan hampir sedekad Salleh Ismail itu boleh dijadikan khazanah berharga.

"Kita ada galeri di belakang Dewan Bandaraya Ipoh… sebelum ini, kita ada kolaborasi dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) yang telah membangunkan semula Ipoh Padang dan Perpustakaan Tun Razak.

"Saya akan minta exco pelancongan berbincang dengan lebih lanjut supaya karya ini disimpan sebagai khazanah negeri untuk ditonton dan dinilai oleh generasi akan datang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Seni Visual Perakman Art Trail dan Pameran Solo Salleh Ismail di Pusat Konvensyen Casuarina Meru yang berlangsung selama lima hari bermula 5 Februari.

Turut hadir Presiden Persatuan Pelukis Perak Datuk Dr Ahmad Lothfi Ibrahim, Salleh dan pelukis yang terlibat dalam pameran itu.

image is not available
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad (dua, kiri) melukis sentuhan terakhir Bunga Raflesia pada Majlis Pameran Perakman Art Trail dan Pameran Solo Salleh Ismail

Saarani juga berkata terjemahan lokasi bersejarah itu mampu menarik lebih ramai pengunjung ke Perak dan memberi ruang kepada orang ramai untuk menilai dan menganalisis karya seni.

"Perakman seperti yang kita maklum adalah khazanah penting negara dan diiktiraf dunia. Seharusnya usaha menjadikan ia sebagai inspirasi dalam pengkaryaan wajar disokong malah dipergiat.

"Keistimewaan Perakman yang meletakkan Lembah Lenggong dalam peta arkeologi dunia hendaklah kita syukuri dengan melipatgandakan usaha menarik lebih ramai pelancong ke sana," katanya.

Pameran itu adalah rentetan beberapa siri ekspedisi ahli Persatuan Pelukis Perak dan beberapa persatuan lain seperti Persatuan Seni Rupa Malaysia, Perak Art Society serta Kartunis Malaysia yang menghasilkan 30 karya.

Kesemua pelukis telah merasai sendiri suasana sebenar Perakman dengan menyusuri dan meredah kampung, hutan dan rimba serta bukit-bukau seperti dalam ekspedisi pertama ke Tasik Raban dan sekitar Gua Tok Giring.

Ekspedisi kedua di Royal Belum, Gerik pula menyaksikan peserta menginap di rumah bot untuk merasai sendiri suasana dan keindahan di Tasik Banding, perkampungan Orang Asli serta menjejak bunga Pakma atau Rafflesia di Sungai Gadung.

Peserta juga dibawa menyusuri Sungai Perak berhampiran Kampung Sayong di Kuala Kangsar dengan menaiki Balai Gambang dalam ekspedisi ketiga yang melibatkan eksplorasi karya di Bandar Diraja itu. - Bernama